Jual baju lama, Ashanty nekad berhijab selepas pulang haji

Penyanyi Ashanty mengambil keputusan menjual sebahagian koleksi pakaian lamanya, termasuk yang masih baharu dan belum pernah dipakai selepas pulang menunaikan ibadah haji.
Menurut Ashanty, banyak pakaian dalam simpanannya masih mempunyai tanda harga dan belum sempat dipakai namun dia memilih melepaskannya sebagai barangan preloved seiring perubahan yang sedang dilaluinya.
“Ya, aku sudah asingkan baju tersebut untuk dijual. Ada yang belum sempat dipakai dan mempunyai tanda harga lagi,” katanya seperti dilaporkan Kapanlagi.
Keputusan mengosongkan sebahagian isi almari itu dibuat selepas dia memantapkan hati untuk berhijab hasil pengalaman rohani yang dilalui ketika berada di Tanah Suci Makkah.
Ashanty berkata, keputusan berhijab bukan dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada kesedaran yang hadir ketika menunaikan ibadah haji.
“Maksud aku, aku mahu benar-benar berhijab bukan karena orang lain. Tapi memang perasaan itu hadir sendiri selepas selesai menunaikan ibadah,” tambahnya lagi.
Katanya, sepanjang berada di Tanah Suci, dia banyak bermuhasabah dan mempersoalkan keutamaan dalam hidup, termasuk sikapnya yang terlalu mementingkan perkara duniawi.
Menurut isteri kepada pemuzik Anang Hermansyah itu, dialog dengan diri sendiri yang dialaminya menjadi titik tolak untuk menutup aurat sebaik pulang ke Indonesia.
Bagaimanapun, Ashanty mengakui perjalanan istiqamah bukan sesuatu yang mudah kerana iman setiap insan ada kalanya turun dan naik.
“‘Ya, kalau belum bersedia jangan dipaksa-paksa. Kalau niat sebaiknya niat sahaja. Begitu juga bila berada di Jakarta, iman ada kala turun naik,” tambahnya lagi.
Ashanty berkata, dia memilih melalui proses perubahan itu secara perlahan tanpa memaksa diri, sambil berharap terus diberi kekuatan untuk kekal istiqamah.



