Chef Restoran Bertaraf Michelin Di Korea Didakwa Hidang Semut Hitam Dalam Pencuci Mulut

Pemilik sebuah restoran bertaraf dua bintang Michelin di Korea Selatan berdepan hukuman penjara selama setahun selepas didakwa menghidangkan sorbet yang dihias dengan semut hitam bagi menambahkan rasa masam, lapor media tempatan.
Pendakwa raya Seoul memohon hukuman tersebut ketika prosiding mahkamah pada Isnin atas dakwaan melanggar peraturan keselamatan makanan.
Di bawah undang-undang Korea Selatan, hanya 10 spesies serangga dibenarkan untuk dimakan manusia, termasuk belalang dan larva ulat tepung.
Bagaimanapun, restoran berkenaan didakwa menghidangkan spesies semut yang tidak dibenarkan dan diimport dari Thailand serta Amerika Syarikat, menurut kenyataan Kementerian Keselamatan Makanan negara itu.
Media tempatan melaporkan semut hitam tersebut dihidangkan sebagai hiasan di atas sorbet yang berfungsi sebagai pencuci mulut atau palate cleanser.
Siasatan pihak berkuasa bermula tahun lalu selepas kementerian itu mendakwa cef restoran berkenaan meletakkan antara tiga hingga lima ekor semut di atas sorbet bagi memberikan rasa masam.

Menurut kementerian, restoran itu dipercayai telah menjual hidangan tersebut sebanyak 12,000 kali, dengan nilai jualan mencecah 120 juta won (RM331,000) dalam tempoh hampir empat tahun sehingga Januari 2025.
Salah satu gambar bukti yang didedahkan kementerian menunjukkan sebuah tin berlabel ‘Cuisine Black Ants’.
Selain hukuman penjara, pihak pendakwa turut memohon Mahkamah Daerah Barat Seoul mengenakan denda sebanyak 20 juta won, lapor agensi berita Newsis.
Peguam yang mewakili defendan berhujah bahawa pencuci mulut yang mengandungi semut itu hanya dihidangkan kepada pelanggan yang telah memberikan persetujuan terlebih dahulu.
Dalam kenyataan penutupnya, defendan dilaporkan berkata: “Saya memohon maaf atas insiden ini yang berlaku kerana kegagalan saya memahami sepenuhnya peraturan berkaitan,” katanya.
Mahkamah dijangka menyampaikan keputusan kes itu pada awal September.
Sumber: AFP
Foto: Dijana oleh Google Gemini



