Terlibat Kemalangan Jalan Raya, Kaylee Hottle Meninggal Dunia Pada Usia 18 Tahun

Pelakon muda Kaylee Hottle yang dikenali menerusi wataknya sebagai Jia dalam filem Godzilla vs. Kong dilaporkan meninggal dunia pada usia 18 tahun akibat kemalangan jalan raya.
Berita pemergian pelakon itu disahkan sendiri oleh bapanya, Joshua Hottle, yang memaklumkan bahawa Kaylee terlibat dalam kemalangan di Maryland, Amerika Syarikat, pada pagi Selasa.
Menerusi satu siaran langsung menggunakan bahasa isyarat Amerika (American Sign Language, ASL), Joshua turut berkongsi bahawa dia terpaksa bergegas ke Maryland bagi membuat pengecaman mayat anaknya.
Kaylee mula mencuri perhatian penonton pada tahun 2021 apabila membawakan watak Jia dalam Godzilla vs. Kong.
Menerusi filem tersebut, dia melakonkan watak seorang kanak-kanak perempuan pekak yang mempunyai hubungan istimewa dengan Kong dan berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Persembahan lakonannya menerima pujian ramai kerana berjaya menyentuh emosi penonton, sekali gus menjadikan Jia antara watak paling diingati dalam francais MonsterVerse.
Pada tahun 2024, Kaylee kembali menghidupkan watak sama menerusi filem Godzilla x Kong: The New Empire, yang sekali lagi memperlihatkan peranannya sebagai watak penting dalam jalan cerita filem berkenaan.
Pemergian Kaylee nyata mengejutkan peminat dan pencinta filem di seluruh dunia yang menzahirkan ucapan takziah serta penghargaan terhadap bakat muda yang disifatkan meninggalkan impak besar dalam industri perfileman Hollywood.



