Khairul Aming Hantar LOD Kepada Maxis

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan undang-undang susulan kebocoran data peribadinya yang tular di media sosial, dengan menyerahkan sepenuhnya pengendalian kes itu kepada pasukan peguamnya.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan beberapa tindakan telah diambil bagi memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Peguam saya telah pun hantar surat tuntutan (LOD) kepada Maxis. Laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuka siasatan ke atas pelaku.
“Laporan kebocoran data juga telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP),” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Menurut Khairul Aming, segala urusan berkaitan kes berkenaan kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh peguam yang dilantiknya sehingga siasatan selesai.
“Peguam-peguam saya akan ambil alih kes ini sehingga selesai. Sejujurnya saya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.
“Butiran telefon, sejarah pembayaran, langganan, sehinggalah nombor kad pengenalan yang boleh digunakan untuk akses MySara, semuanya bocor,” ujarnya.
Sebelum ini, Khairul Aming meluahkan rasa terkejut apabila seorang pengguna media sosial memuat naik maklumat bil telefon peribadinya selepas meninggalkan komen yang mendakwa usahawan itu mempunyai tunggakan bil menerusi Threads.
Susulan insiden tersebut, syarikat telekomunikasi Maxis tampil memohon maaf dan mengesahkan pihaknya telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam kebocoran maklumat berkenaan.
Maxis turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit selaras dengan siasatan dalaman yang sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran data peribadi Khairul Aming.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, insiden itu menimbulkan kebimbangan kerana ia memberi gambaran bahawa terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pelanggan serta sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.



