Andrew & Tristan Tate Ditahan Di AS, Berdepan 38 Pertuduhan Baharu Termasuk Rogol Dan Pemerdagangan Seks

Dua personaliti media sosial kontroversi, Andrew Tate dan adiknya Tristan Tate, ditahan di Miami, Florida, Amerika Syarikat pada 18 Julai selepas pihak berkuasa United Kingdom meluluskan 38 pertuduhan baharu terhadap mereka, termasuk pemerdagangan seks, serangan seksual dan rogol.
Menurut The Guardian, kedua-dua beradik itu ditahan oleh U.S. Marshals di Miami susulan permintaan ekstradisi yang dikemukakan oleh pihak berkuasa UK.
Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota United Kingdom (Crown Prosecution Service, CPS) memaklumkan bahawa mereka memutuskan untuk memfailkan pertuduhan baharu membabitkan “kesalahan tambahan yang didakwa dilakukan”, termasuk rogol, mengatur atau memudahkan pemerdagangan bagi tujuan eksploitasi seksual, serta kesalahan berkaitan imej lucah kanak-kanak.
Andrew Tate, 39, didakwa dengan:
Tujuh pertuduhan rogol;
Tiga pertuduhan mengatur atau memudahkan pemerdagangan bagi tujuan eksploitasi seksual;
Tiga pertuduhan menyerang (assault); dan
19 pertuduhan berkaitan pemilikan imej lucah kanak-kanak serta bahan pornografi melampau.
Sementara itu, Tristan Tate, 38, berdepan:
Satu pertuduhan serangan seksual;
Dua pertuduhan rogol; dan
Tiga pertuduhan mengatur atau memudahkan pemerdagangan bagi tujuan eksploitasi seksual.
BBC melaporkan kedua-dua beradik itu merupakan warganegara dwi Amerika Syarikat dan United Kingdom. Pendakwa raya UK kini akan memulakan proses undang-undang untuk mengekstradisi mereka ke negara tersebut.
Ketua Bahagian Jenayah Khas CPS, Malcolm McHaffie, berkata keputusan untuk memfailkan pertuduhan baharu dibuat selepas menerima bukti tambahan daripada Polis Bedfordshire, sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang didakwa dalam kes itu meningkat kepada tujuh orang.
Polis Bedfordshire berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan terhadap kedua-dua beradik tersebut kini sebanyak 59 pertuduhan, iaitu 42 terhadap Andrew Tate dan 17 terhadap Tristan Tate, melibatkan kejadian yang didakwa berlaku antara tahun 2010 hingga 2017.
Menurut polis, mereka kini bekerjasama rapat dengan CPS serta agensi penguat kuasa antarabangsa dalam operasi yang disifatkan sebagai ‘kompleks’.
Ini bukan kali pertama Andrew dan Tristan Tate berdepan siasatan jenayah. CPS sebelum ini turut mendakwa mereka dalam satu kes berasingan melibatkan 21 pertuduhan, termasuk rogol, menyebabkan kecederaan tubuh badan dan pemerdagangan manusia yang membabitkan empat mangsa.
Pada tahun 2022, kedua-duanya turut ditahan serta didakwa di Romania atas tuduhan pemerdagangan manusia, rogol dan menubuhkan kumpulan jenayah terancang.
Andrew dan Tristan Tate dikenali sebagai personaliti media sosial yang sering mempromosikan imej ‘hipermaskulin’ serta mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai misoginis terhadap wanita.
Andrew Tate merupakan bekas atlet kickboxing yang mula dikenali menerusi rancangan realiti televisyen di UK sebelum membina empayar dalam talian dengan menjual kelas motivasi dan keusahawanan menerusi platform Hustler’s University.
Selain itu, kedua-dua beradik tersebut juga pernah mencetuskan perhatian apabila cuba membeli seekor monyet bernama Punch daripada sebuah zoo di Jepun sebagai sebahagian daripada minat mereka terhadap pemeliharaan haiwan eksotik.



