Trending

Hari Pertama Larian Kesyukuran Muar, Syed Saddiq Berjaya Kumpul RM54,692

Misi Larian Kesyukuran yang dianjurkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM54,692 pada hari pertama pelaksanaannya.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Syed Saddiq melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil memberikan sumbangan serta sokongan sepanjang perjalanan misi tersebut.

Menurutnya, jumlah kutipan berkenaan berjaya dicapai hasil sumbangan orang ramai yang mengikuti dan menyokong perjalanan Larian Kesyukuran dari awal sehingga hari pertama tamat.

“RM54,692. Itulah jumlah berjaya kita kumpulkan pada hari pertama Larian Kesyukuran Muar, alhamdulillah. Thank you so much kepada semua yang menyumbang dan menyokong perjalanan ini,” katanya menerusi video berkenaan.

Syed Saddiq berkata, perjalanan hari pertama bermula dari Putrajaya menuju ke Salak Tinggi sebelum diteruskan sehingga ke Labu.

Katanya, dia bersama pasukan turut mengambil masa untuk berhenti seketika bagi menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan larian ke destinasi terakhir bagi hari pertama.

Sebelum ini, Syed Saddiq memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya menuju ke Laman Maharani, Muar, Johor.

Misi selama empat hari itu diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas dia melalui perjuangan panjang selama enam tahun bagi membersihkan nama dan maruahnya.

Selain itu, larian tersebut turut membawa misi kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 untuk disalurkan kepada penduduk yang memerlukan di kawasan Parlimen Muar, termasuk bantuan food bank serta penyediaan pek pendidikan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima sepanjang laluan larian apabila orang ramai sanggup menunggu di tepi jalan semata-mata untuk memberikan sokongan dan kata-kata semangat.

Menurutnya, sokongan tersebut diterima sejak perjalanan bermula di Putrajaya hingga ke Salak Tinggi, malah semakin meriah apabila tiba di Labu walaupun pada lewat malam.

Syed Saddiq turut mengajak orang ramai terus bersama-sama menyokong misi berkenaan bagi membantu mencapai sasaran kutipan dana yang ditetapkan.

Related Articles

Back to top button