Trending

Tarikh Nikah Syed Saddiq & Bella Astillah Sudah Ditetapkan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa tarikh pernikahannya bersama tunangnya yang juga penyanyi dan pelakon Bella Astillah sudah dipersetujui oleh kedua-dua keluarga.

Menurut Syed Saddiq, segala perbincangan membabitkan hari bahagia mereka telah mencapai kata sepakat, namun buat masa ini pasangan itu memilih untuk merahsiakan tarikh berkenaan sehingga tiba waktu yang sesuai untuk diumumkan.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi menghormati ahli keluarga serta kenalan rapat yang perlu dimaklumkan terlebih dahulu sebelum ia dikongsikan kepada umum.

“Alhamdulillah keluarga terdekat termasuk kedua ibu bapa kami, sudah ada tarikh yang dipersetujui. Bukan setakat di antara kami berdua tetapi ibu bapa dan adik-beradik.

“Cuma kami tidak uar-uarkan sekarang kerana perlu hormati proses ini iaitu nak beritahu keluarga lain dan kawan-kawan terdekat terlebih dahulu.

“Jadi, memang akan ada prosesnya dan kami tidak akan umum terus kepada orang ramai,” katanya ketika muncul dalam podcast BASS.

Dalam pada itu, Bella memaklumkan orang ramai perlu menantikan pengumuman rasmi daripada Astro kerana hak penyiaran majlis perkahwinan mereka berada di bawah stesen televisyen berkenaan.

Jelasnya, segala perkembangan mengenai persiapan dan majlis pernikahan akan dikongsikan menerusi platform Astro mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Sebenarnya ramai tidak tahu majlis perkahwinan kami hak penyiaran Astro. Jadi, kalian perlu ikuti sebarang kemas kini mengenai majlis perkahwinan kami dengan Astro,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq pernah memberi bayangan bahawa dia bakal menamatkan zaman bujang sebelum penghujung tahun ini.

Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Related Articles

Back to top button