Angkat Isu ‘Job Scam’, Tiket Sehala Temui Penonton 6 Ogos

Isu penipuan pekerjaan atau job scam yang semakin membimbangkan menjadi nadi kepada filem survival thriller, Tiket Sehala, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.
Diterbitkan Key Billions Sdn. Bhd. dan diarahkan Rahila Ali, filem berkenaan diinspirasikan daripada realiti pemerdagangan manusia serta sindiket penipuan pekerjaan yang masih berlaku, termasuk membabitkan rakyat Malaysia.
Lebih menarik, filem itu membabitkan kerjasama produksi dari beberapa negara dengan penggambaran dijalankan di Malaysia dan Korea Selatan, selain menampilkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Rahila berkata, sambutan terhadap teaser poster dan teaser trailer yang dilancarkan sebelum ini memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan produksi.
“Apabila kami memuat naik teaser poster dan teaser trailer Tiket Sehala di media sosial, ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap visual dan lakonan para pelakon.
“Saya amat menghargai setiap komen yang diberikan kerana ia menjadi pembakar semangat kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras menjayakan filem ini,” katanya.

Tiket Sehala mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan sebelum terperangkap dalam situasi yang mengubah kehidupan mereka dan memaksa membuat pilihan yang tidak pernah dibayangkan.
Filem itu dibintangi Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ.
Turut membintangi filem berkenaan ialah pelakon Korea Selatan Hyunjun Suk dan Ha Ju Young, Usadee Aphisit (Ninja) dari Thailand serta Naufal Samudra dari Indonesia.
Menurut Rahila, walaupun filem itu dipersembahkan sebagai naskhah survival thriller, beliau berharap penonton dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan.
“Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan. Di sebalik ketegangan yang dipaparkan, ia juga membawa kisah tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
“Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami,” jelasnya.

Rahila turut mengakui pembikinan filem itu bukan sesuatu yang mudah kerana sebahagian besar penggambaran dijalankan di Korea Selatan.
Katanya, cabaran utama termasuk urusan permit, logistik, faktor cuaca serta penyelarasan antara pasukan produksi Malaysia dan Korea Selatan yang mempunyai budaya kerja berbeza.
“Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang dan ada masanya kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat. Namun, bagi saya setiap cabaran adalah sebahagian daripada proses menghasilkan sesebuah filem.”
“Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen seluruh pasukan produksi. Tanpa usaha dan kerjasama mereka, filem ini tidak mungkin dapat disiapkan sehingga berjaya menemui penonton pada 6 Ogos nanti,” tambahnya lagi.



