Global

Peminat Byeon Woo Seok Kutip Lebih RM10,000, Derma Pada Belia Yang Memerlukan

Kelab peminat pelakon Byeon Woo Seok, Byeon Woo Seok and TongTongE, telah mengumpulkan sumbangan sempena acara pertemuan peminat (fan meeting) yang diadakan baru-baru ini di Seoul, Korea.

Menurut Korea Social Welfare Society, para peminat menjalankan kempen kutipan dana dari 4 hingga 12 Julai lalu dan berjaya mengumpulkan sebanyak 4,028,074 juta won (RM10,987).

Dana tersebut akan digunakan bagi membantu golongan belia yang sedang memulakan kehidupan berdikari selepas meninggalkan institusi jagaan.

Sumbangan itu akan disalurkan untuk menyediakan kit barangan dapur yang mengandungi makanan asas seperti nasi segera dan lauk-pauk.

“Saya berharap sokongan dan keprihatinan daripada Byeon Woo Seok and TongTongE dapat memberi mereka keberanian untuk melangkah ke hadapan tanpa rasa ragu-ragu,” kata salah seorang peminat yang menyertai kempen tersebut.

Presiden Korea Social Welfare Society, Lee Bong Won, berkata kumpulan peminat itu menjadi contoh budaya fandom yang positif kerana sentiasa berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Byeon Woo Seok and TongTongE telah menunjukkan contoh budaya fandom yang sihat melalui amalan berkongsi secara konsisten dengan masyarakat yang memerlukan.

“Saya amat berterima kasih dan berharap sumbangan ini dapat menjadi sinar harapan kepada golongan belia yang sedang bersedia untuk hidup berdikari,” katanya.

Ini merupakan kempen sumbangan kali kesembilan yang dianjurkan oleh fandom tersebut sejak mereka memulakan aktiviti kebajikan pada tahun 2024.

Sebelum ini, mereka turut menyumbang kepada pelbagai inisiatif kebajikan termasuk penyediaan kerusi roda untuk veteran, bantuan makanan kepada kanak-kanak serta sumbangan peralatan perubatan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Related Articles

Back to top button