Penantian 6 Tahun Berakhir, Syed Saddiq Bebas Hukuman Penjara & Sebatan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya dibebaskan sepenuhnya daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan.
Keputusan majoriti 2-1 itu sekali gus mengekalkan penghakiman Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dalam keputusan majoriti, Che Mohd Ruzima dan Sequerah berpendapat Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan undang-undang atau prosedur ketika membenarkan rayuan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu.
Kes itu membabitkan dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana ARMADA BERSATU.
Sebaik sahaja Sequerah membacakan penghakiman yang menjadi penentu keputusan majoriti, suasana di dalam mahkamah bertukar hening sebelum disusuli tepukan daripada hampir semua yang hadir.
Abu Bakar, yang menyampaikan penghakiman berbeza, kemudian memanggil Syed Saddiq ke hadapan panel hakim bagi menjelaskan bahawa sabitan dan hukuman yang diputuskan olehnya terhadap beberapa pertuduhan tidak lagi berkuat kuasa susulan keputusan majoriti.
Sementara itu, Che Mohd Ruzima mengingatkan bahawa hakim tidak mempunyai ruang untuk mempertahankan diri atau menjawab persepsi masyarakat terhadap sesuatu keputusan di khalayak.
Beliau berkata, pihak berkepentingan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila membabitkan institusi kehakiman.
Sejurus prosiding berakhir, suasana penuh emosi menyelubungi ruang mahkamah apabila ahli keluarga Syed Saddiq yang berada di galeri awam dilihat saling berpelukan sebagai tanda kesyukuran, manakala beliau turut bersalaman dengan barisan peguam yang mewakilinya.



