Music

Wani Kayrie Nafi Buat Gimik Umum Kahwin Di Pentas AJL40

Penyanyi Wani Kayrie, 26, menepis spekulasi kononnya dia bakal mencetuskan kejutan atau gimik dengan mengumumkan perkahwinan ketika membuat persembahan pada pentas Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), pada 15 Ogos depan.

Menurut pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah, andaian tersebut mungkin timbul kerana lagu Cak Cak Cekuk yang dipertandingkan mempunyai elemen berkaitan majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, penyanyi itu menegaskan dia masih belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, apatah lagi menjadikan perkara tersebut sebagai gimik sempena penampilan sulungnya di pentas berprestij itu.

“Kahwin? Mungkin tidak. Awal lagi untuk saya berkahwin. Mungkin juga orang anggap lagu ini berkisar perkahwinan, jadi, mereka fikir saya akan bawa tema itu di pentas AJL.

“Tapi kalau boleh, saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Kalau buat perkara yang orang sudah boleh jangka, nanti tiada elemen kejutan.

“Jadi, apa yang boleh saya katakan, gimik kahwin itu bukan saya, mungkin artis lain,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan menjelang AJL40, Wani berkata fokus utamanya kini adalah memastikan persembahan yang bakal dipentaskan nanti mampu meninggalkan impak kepada penonton tanpa perlu bergantung kepada sebarang kontroversi atau sensasi.

Katanya, pengalaman pertama beraksi di pentas AJL adalah detik yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya, justeru dia mahu memberikan sepenuh komitmen terhadap aspek vokal dan persembahan.

“Saya boleh katakan untuk kali ini saya tidak mahu ada gimik. Saya cuma mahu membuat persembahan dengan gembira kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di pentas AJL.

“Saya tidak mahu ganggu fokus dan prestasi. Apa yang saya mahu ialah memberi persembahan yang meninggalkan kenangan kepada semua,” katanya.

Wani yang akan mempersembahkan lagu Cak Cak Cekuk di AJL40 berkata lagi, dia lebih cenderung menampilkan konsep persembahan yang sederhana dan berkualiti berbanding mencipta gimik yang boleh mengalih perhatian daripada nyanyian.

“Bagi saya, kalau ada gimik sekalipun, biarlah ia datang daripada konsep persembahan pada malam itu.

“Namun, untuk gimik sebelum persembahan, saya fikir tidak perlu. Buat masa ini, saya sangat fokus kepada AJL dan mahu memberi yang terbaik dan kekalkan konsep sederhana,” kongsinya.

Related Articles

Back to top button