Salina Saibi Pesan Pelakon Gerak Khas – ‘Tidak Boleh Pergi Disko, Tak Boleh Minum, No Dadah’

Pelakon Salina Saibi, 44, mengingatkan seluruh warga produksi Gerak Khas 2.0 supaya sentiasa menjaga disiplin dan nama baik sepanjang menjalani penggambaran bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi drama tersebut.
Salina memberikan amanat kepada para pelakon dan kru sebelum penggambaran bermula dengan menekankan kepentingan menjaga tingkah laku, selain mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti yang boleh mengundang perhatian negatif.
“Sebagai artis kita kena jaga tingkah laku. Ramai mata yang memandang dan mencari salah kita.
“Pertama, tidak boleh pergi disko. Dalam tempoh lima bulan ini orang akan cari kesilapan. Gerak Khas ini ramai yang dengki dengan kita.
“Kedua, tak boleh minum di set (lokasi penggambaran). No dadah! Jangan buat kes polis,” katanya dalam satu hantaran video.
Menurut pelakon yang sinonim dengan watak Asisten Superintenden (ASP) Salina itu, setiap individu dalam produksi memikul tanggungjawab besar kerana kesilapan seorang sahaja mampu memberi kesan kepada seluruh pasukan.
Katanya, sebagai drama yang mengangkat kisah kepolisan, Gerak Khas sentiasa menjadi perhatian ramai dan sebarang isu melibatkan pelakonnya pasti akan mengundang persepsi negatif.
“Jangan sebab awak kita hancur. Sebab kita bawa nama Gerak Khas, orang ramai memantau.
“Ketepatan masa sangat kita jaga. Kita tak mahu lambat, kena tepati masa,” ujarnya.
Video berkenaan dipercayai dirakam ketika sesi taklimat sebelum penggambaran Gerak Khas 2.0 bermula dan turut dihadiri penerbit Datuk Yusof Haslam bersama barisan pelakon serta kru produksi.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita drama berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara kerana disyaki positif dadah jenis methamphetamine bersama 17 individu lain.



