Trending

Kulit Muka Cepat Kendur, Fathia Latiff Menyesal Cucuk Botoks

Pelakon Fathia Latiff, 39, mengakui pernah membuat keputusan yang disesalinya apabila menjalani prosedur suntikan botoks demi mendapatkan wajah yang kelihatan lebih muda.

Pemilik nama penuhnya Nur Fathia Abdul Latiff, berkata pengalaman itu membuka matanya apabila kesan rawatan tersebut tidak bertahan lama, malah meninggalkan perubahan pada wajah yang masih dirasainya sehingga kini.

“Saya menyesal sebab perubahan wajah saya sebelum ini memang ada buat botoks, tapi kesannya tak lama. Muka akan jadi rosak, kedutan akan datang balik dan masalah beg mata pun muncul semula.

“Saya buat cara ‘cucuk’ dan sampai sekarang kesannya masih ada,” katanya menerusi satu perkongsian video.

Menurut Fathia, faktor usia yang semakin menghampiri angka 40 turut menyebabkan kulit wajahnya mula kehilangan keanjalan, sekali gus membuatkan beberapa bahagian wajah kelihatan semakin kendur.

Katanya, keadaan itu paling ketara di sekitar mata, pipi dan mulut sehingga membuatkan dia mencari alternatif yang lebih selamat untuk mengekalkan penampilan.

“Muka saya macam sudah tidak tegang termasuk bawah mata sebab umur pun sudah 39 tahun. Semua otot wajah sudah jatuh. Saya memang mahu tegangkan semula di bahagian mata, mulut dan pipi,” ujarnya.

Enggan mengulangi kesilapan lalu, pelakon itu berkata dia kini memilih rawatan High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) yang dianggap lebih semula jadi berbanding prosedur suntikan.

Pada masa sama, Fathia turut menasihatkan orang ramai, khususnya wanita yang ingin mengubah penampilan wajah, supaya tidak terlalu mengejar kecantikan secara segera sehingga sanggup mengambil risiko terhadap kesihatan kulit.

Menurutnya, proses penuaan adalah sesuatu yang normal dan jauh lebih baik diterima berbanding bergantung kepada prosedur kosmetik yang boleh memberi kesan buruk dalam jangka panjang.

Related Articles

Back to top button