Jaga Warga Emas Kini Kerjaya Lumayan, Ada Raih Pendapatan Hingga RM15,000 Sebulan

Apabila bercakap mengenai kerjaya bergaji lumayan, bidang penjagaan warga emas mungkin bukan pilihan pertama yang terlintas di fikiran ramai.
Namun, satu inisiatif latihan di Perak membuktikan bidang tersebut berpotensi menjadi kerjaya profesional dengan pendapatan tinggi, apabila ada peserta dilaporkan memperoleh antara RM7,000 hingga RM15,000 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pencapaian itu membuktikan bidang penjagaan warga emas mempunyai potensi besar sebagai satu kerjaya profesional.
Menurutnya, bidang itu juga mampu meningkatkan taraf ekonomi individu yang mengikuti program latihan berkenaan, lapor Kosmo!.
“Setakat ini kami hanya mengeluarkan sijil penyertaan. Masih belum ada akreditasi rasmi kerana belum wujud badan yang boleh mengiktirafnya secara rasmi, termasuk di peringkat Persekutuan.
“Namun dengan sijil ini, kita dapat lihat mereka mampu menawarkan perkhidmatan pada kadar yang turut mengejutkan saya sendiri apabila ada peserta memperoleh pendapatan antara RM7,000 hingga RM15,000 sebulan,” katanya.
Menurut Salbiah, seramai 356 individu telah mengikuti latihan menerusi inisiatif tersebut sejak tahun 2023.
Latihan itu dilaksanakan melalui program TVET Kursus Kaigo Lite: The Essence of Caregiving serta Professional Certification Elderly Care Course.
Program berkenaan bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran penjagaan warga emas secara profesional, terutama ketika permintaan terhadap perkhidmatan itu terus meningkat.
Pada masa sama, Salbiah berkata kerajaan negeri sedang meneliti kaedah untuk mengekalkan tenaga penjaga warga emas terlatih di Perak.
Ini berikutan ramai peserta memilih untuk bekerja di negeri lain walaupun permintaan terhadap penjaga warga emas di Perak sendiri semakin meningkat.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang memperkemaskan usaha bagi memastikan lebih ramai tenaga kerja terlatih kekal berkhidmat di Perak bagi memenuhi keperluan setempat.
Perkembangan itu turut membuktikan bahawa bidang penjagaan warga emas, yang selama ini sering dianggap sebagai pekerjaan berasaskan khidmat sokongan, mampu berkembang menjadi kerjaya profesional dan mampan dengan latihan serta pengiktirafan yang sewajarnya.
Foto: Janaan Google Gemini



