Berita

Bapa Terkejut Anak Ditikam 14 kali, Sangka Guru Hubungi Sebab Anak Sakit

Pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor, bertempiaran menyelamatkan diri selepas seorang pelajar perempuan dirakam mengacukan sebilah pisau di dalam kawasan sekolah.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan cedera parah selepas ditikam lebih 10 kali pada bahagian belakang badan dan bahu.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bercakap kepada media, bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja sebelum menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab di telefonnya.

Apabila mendapati panggilan itu dibuat oleh guru anaknya, dia terus menghubungi semula dan pada mulanya menyangka anaknya tidak sihat. Namun, dia sama sekali tidak menyangka dimaklumkan bahawa anaknya telah ditikam.

“Apabila saya tiba di hospital, keadaannya agak teruk. Tidak lama kemudian, dia dibawa menjalani imbasan bagi menentukan tahap kecederaannya.

“Dia sedar, boleh bercakap dan mengalami kira-kira 14 kesan tikaman, kebanyakannya di bahagian belakang badan, selain kecederaan pada muka dan kepala,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Firuz berkata, anaknya mengenali suspek kerana mereka pernah berada dalam kelas yang sama pada tahun lalu.

Namun, dia tidak percaya anaknya merupakan sasaran sebenar suspek.

“Mungkin dia mahu menyerang orang lain, tetapi anak saya berada paling hampir dengannya dan mungkin tidak sempat melarikan diri.

“Anak saya sudah belajar di sekolah itu selama tiga tahun dan tidak pernah mengadu diganggu atau mempunyai masalah dengan pelajar lain,” katanya.

Firuz turut menggesa pihak sekolah supaya memperketatkan kawalan keselamatan dengan menjalankan pemeriksaan yang lebih rapi sebelum membenarkan sesiapa memasuki kawasan sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Jika disabitkan kesalahan, suspek yang kini ditahan reman berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Related Articles

Back to top button