‘Dipecat’ Sindiket Scam Kerana Gagal Tipu Mangsa, Lelaki Tempatan Ini Berdepan Hukuman Penjara Di Singapura

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 30 tahun hanya sempat bekerja selama tiga hari dengan sebuah sindiket penipuan di Kemboja sebelum ‘dipecat’ kerana gagal memperdaya walaupun seorang mangsa.
Bagaimanapun, akhirnya ditahan di Singapura dan dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan berkaitan sindiket penipuan.
Menurut laporan CNA, individu bernama Yip Chee Min itu berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Jason’ di sebuah bar di Kuala Lumpur pada Oktober 2024. Jason kemudian menawarkan peluang pekerjaan di sebuah pusat panggilan sindiket penipuan di Kemboja.
Selepas dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram, mereka dimaklumkan oleh ketua sindiket yang mereka akan menerima gaji sekitar 10,000 dolar (RM40,711) sebulan, selain semua kos perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh sindiket.
Jason dan Yip kemudian pergi ke Kemboja untuk melihat pusat operasi sindiket itu. Di sana, Yip melihat seramai 32 operator panggilan penipuan bekerja di dalam sebuah bilik kalis bunyi. Selepas pulang ke Malaysia, Yip membuat keputusan untuk menyertai sindiket tersebut.
Pada 21 November 2024, dia kembali ke Kemboja dan mendapati gaji sebenar yang ditawarkan hanyalah 1,800 dolar (sekitar RM7,300) sebulan, selain komisen satu peratus daripada hasil wang yang berjaya ditipu daripada mangsa. Semua bayaran dibuat dalam bentuk mata wang kripto.
Selepas diberi taklimat mengenai operasi sindiket yang menyasarkan mangsa dari Singapura, Yip ditugaskan menyamar sebagai pegawai bank untuk membuat panggilan penipuan.
Dia diberikan sebuah iPhone 6, skrip perbualan serta senarai 30 bakal mangsa dari Singapura.
Walaupun berjaya menghafal skrip tersebut, Yip gagal menyampaikan dialog dengan lancar dan tidak berjaya memperdaya walaupun seorang mangsa sepanjang tiga hari berada di pusat operasi itu.
Kecewa dengan prestasinya, sindiket tersebut memecat Yip dan menghantarnya pulang ke Malaysia.
Sebelum itu, ketua sindiket merampas telefon bimbit peribadinya dan memadam semua mesej yang berkaitan dengan aktivitinya bersama sindiket tersebut.
Pada Februari 2025, Yip bekerja sebagai pemandu penghantaran di Singapura dengan gaji sekitar 2,300 dolar Singapure (kira-kira RM7,200) sebulan sebelum ditahan pada 9 September tahun yang sama.
Di mahkamah, peguam Yip berhujah bahawa anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan memohon hukuman penjara selama 13.8 bulan.
“Kes Yip adalah unik kerana, seperti yang turut diakui pihak pendakwaan, dia tidak berjaya melakukan walaupun satu panggilan penipuan sepanjang bersama sindiket itu.
“Dia juga hanya menjadi ahli sindiket untuk tempoh yang sangat singkat dan tidak menerima walaupun satu sen bayaran,” ujar peguam.
Namun, hakim tidak bersetuju dengan hujah tersebut.
Menurut hakim, faktor itu tidak mengurangkan tahap kesalahan Yip kerana dia secara sukarela menyertai sindiket berkenaan dengan niat untuk menipu rakyat Singapura.
“Keputusannya untuk menyertai sindiket itu dibuat secara sengaja dan didorong oleh keuntungan kewangan. Seperti yang dihujahkan pihak pendakwaan, tertuduh sebenarnya dipecat kerana gagal membuat panggilan penipuan dengan yakin walaupun sudah mencuba sedaya upaya, bukannya kerana menyesal,” kata hakim.
Yip akhirnya dijatuhi hukuman 16 bulan dua minggu penjara selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Jenayah Terancang Singapura, manakala satu lagi pertuduhan menipu turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.



