Berita

6 Tahun Menunggu, Syed Saddiq Akur Keputusan Rayuan Akhir Ditangguh

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui penangguhan keputusan rayuan akhir kesnya di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bukan sesuatu yang dijangkakan, namun dia akur dan menghormati proses kehakiman negara.

Menurut Syed Saddiq, pelbagai kemungkinan telah dibincangkan bersama pasukan peguam sebelum prosiding berlangsung, namun mereka sama sekali tidak menjangkakan keputusan itu terpaksa ditangguhkan berikutan salah seorang hakim panel tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

“Ini bukan perkara yang kami jangkakan. Banyak senario telah dibincangkan, tetapi perkara ini langsung tidak berada dalam perancangan kami.

“Bagaimanapun, apabila ia melibatkan isu kesihatan yang berada di luar kawalan, saya akur dan menghormati keputusan mahkamah serta institusi kehakiman negara,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menegaskan dia tetap meletakkan kepercayaan penuh terhadap institusi kehakiman yang disifatkannya sebagai benteng terakhir bagi setiap individu mendapatkan keadilan berdasarkan fakta dan bukti.

Selepas hampir enam tahun berdepan proses perundangan, Syed Saddiq berkata dia tidak mempunyai masalah untuk menunggu dua minggu lagi demi memastikan perjalanan kes itu berlangsung mengikut lunas undang-undang.

“Sudah enam tahun saya berjuang untuk membersihkan nama, integriti dan maruah saya. Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur. Fokus saya sekarang hanyalah mendapatkan keadilan di mahkamah,” katanya lagi.

Sementara itu, peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menyifatkan penangguhan berkenaan sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sepanjang pengalamannya mengendalikan kes.

Hisyam Teh berkata, lazimnya apabila sesuatu keputusan telah ditetapkan untuk diumumkan, ia akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Namun, katanya, situasi kali ini berlaku disebabkan salah seorang hakim panel tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang bercuti sakit, sekali gus menyebabkan keputusan terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu.

Terdahulu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim memaklumkan prosiding tidak dapat diteruskan selepas Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali mengambil cuti sakit selama dua hari.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh baharu untuk menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq.

Keputusan itu akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi akan dikembalikan.

Related Articles

Back to top button