Jamal Abdillah Akui Suara Tak Semantap Dulu, Ada Terfikir Untuk Bersara

Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, 67, mengakui prestasi vokalnya tidak lagi berada pada tahap terbaik, namun menegaskan dia belum bersedia untuk mengundurkan diri daripada dunia nyanyian yang sudah diceburinya sejak hampir 50 tahun lalu.
Menurut Jamal, apa yang lebih membimbangkannya ketika ini bukan soal usia atau populariti, sebaliknya keupayaan untuk memberikan persembahan yang memenuhi standard tinggi yang ditetapkan terhadap dirinya sendiri.
“Bagi saya, penyanyi atau ahli politik sebenarnya tiada istilah bersara. Selagi masih ada kemampuan, kita akan terus berkarya.
“Cuma sekarang ini saya mahu mendapatkan semula kualiti suara seperti dahulu. Sebagai penyanyi, KPI saya adalah memberikan persembahan yang terbaik.
“Kalau saya terpaksa menurunkan nada lagu atau tidak mampu menyampaikan lagu seperti yang saya mahukan, saya sendiri tidak puas hati.
“Saya naik ke pentas bukan semata-mata kerana wang atau populariti, tetapi saya mahu penonton benar-benar menikmati setiap lagu yang saya nyanyikan,” katanya.
Mengulas kenyataan mengenai persaraan yang pernah dibuat sebelum ini, Jamal menjelaskan itu sekadar gurauan ketika berinteraksi dengan penonton dalam sebuah persembahan.
Bagaimanapun, kali ini dia mengakui situasinya sedikit berbeza kerana benar-benar merasakan perubahan pada kemampuan vokalnya.
“Pengumuman saya sebelum ini hanya gurauan. Masa itu saya membuat persembahan bersama penyanyi-penyanyi muda dan saya pula menyanyi paling akhir, jadi saya berseloroh kononnya mahu bersara.
“Tetapi sekarang saya sendiri dapat rasakan suara saya sudah berubah. Doktor menasihatkan saya berehat dan menjalani rawatan selama dua bulan.
“Jika selepas rawatan suara saya masih tidak kembali seperti yang diharapkan, mungkin ketika itu saya perlu mempertimbangkan soal persaraan,” katanya.
Bercerita mengenai keadaan kesihatannya, Jamal berkata perubahan pada suaranya mula dirasai selepas menjalani pembedahan hernia, selain percaya jadual kerja yang terlalu padat turut menjadi antara puncanya.
“Sebelum menjalani pembedahan ketika Ramadan lalu, saya menyanyikan antara 25 hingga 40 buah lagu dalam satu malam selama tujuh hari berturut-turut.
“Selepas pembedahan, saya mula rasa suara berubah. Mungkin juga sebab saya langsung tidak sempat berehat kerana jadual kerja sepanjang tahun ini memang sangat padat. Kotak suara dan pita vokal saya memang tidak diberi peluang untuk berehat,” jelasnya.
Dalam masa sama, Jamal mendedahkan dia terpaksa menangguhkan pemeriksaan lanjut yang disarankan pakar kerana masih mempunyai komitmen kerja yang perlu diselesaikan.



