Trending

Datuk Red Dah Penat, Mahu Tarik Semula Kes Pengesahan Lafaz Rujuk Dengan Adira

Kemelut tuntutan pengesahan lafaz rujuk antara usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red dan bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi, masih belum menemui noktah apabila Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Khamis menolak permohonan penarikan balik kes yang difailkan oleh usahawan itu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Nurul Hidayah Jani yang turut menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sambungan prosiding.

Peguam syarie mewakili Datuk Red, Muhammad Akmal Amzan berkata, mahkamah memutuskan untuk meneruskan perbicaraan bagi mendengar keterangan kedua-dua pihak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung tuntutan berkenaan.

Menurutnya, mahkamah perlu meneliti sama ada keterangan yang dikemukakan oleh plaintif dan defendan bercanggah atau sebaliknya sebelum menentukan hala tuju kes tersebut.

“Hari ini mahkamah mahu mendengar keterangan kedua-dua pihak terlebih dahulu. Kita perlu sahkan sama ada terdapat percanggahan dalam keterangan yang diberikan.

“Hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kes ini boleh diteruskan atau sebaliknya. Jadi, mahkamah memutuskan supaya perbicaraan diteruskan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Adira, Nor Saidah Zakaria memaklumkan pihaknya telah menerima notis permohonan penarikan balik kes daripada pihak plaintif pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Nor Saidah menjelaskan bahawa sebarang permohonan penarikan balik tetap tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

“Pengesahan lafaz talak dan lafaz rujuk perlu diputuskan mengikut hukum syarak. Sebab itu, ia bergantung kepada keputusan mahkamah sama ada mahu membenarkan atau menolak permohonan tersebut.

“Namun pada prosiding hari ini, mahkamah telah menolak permohonan plaintif untuk menarik balik kes. Jadi, prosiding perlu diteruskan dengan keterangan pihak defendan pada tarikh akan datang,” katanya.

Terdahulu, Datuk Red yang memfailkan permohonan menarik balik kes pengesahan rujuk tersebut menjelaskan tindakannya dibuat bagi menamatkan kemelut yang berlarutan antara dirinya dan bekas isteri.

Menurut Adnan, dia sudah berasa penat dengan proses yang berpanjangan selain tidak mahu isu berkenaan terus menjadi perhatian ramai.

“Kalau ikutkan memang saya mahu tamatkan perkara ini. Saya sudah malas dan penat kalau berterusan macam ini. Nanti pusing-pusing, saya juga yang dipersalahkan.

“Jadi, saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Disebabkan itu, saya buat keputusan untuk tarik balik kes,” katanya.

Pada 18 Disember tahun lalu, Adnan memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk dengan mendakwa rujuk telah berlaku pada Mei 2024 ketika Adira masih berada dalam tempoh iddah selepas perceraian mereka. Bagaimanapun, penyanyi itu dilaporkan tidak mengesahkan dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Adira turut meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan bekas suaminya yang didakwa meletakkan beberapa syarat bagi menyelesaikan kemelut kes berkenaan.

Malah, penyanyi itu mendakwa Datuk Red meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan saman sivil berkaitan tuntutan hutang.

Datuk Red bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan beliau tidak pernah membuat tawaran seperti yang diperkatakan.

Related Articles

Back to top button