ALPHA Rai Ulang Tahun Pertama Dengan Album Sulung The First Wave, Guna Khidmat Komposer Terkenal Dunia

Kumpulan sensasi M-Pop, ALPHA meraikan ulang tahun pertama penubuhan mereka dengan pelancaran album studio penuh pertama berjudul The First Wave baru-baru ini.
Album yang diterbitkan di bawah Rocketfuel Entertainment itu menandakan satu pencapaian besar buat ALPHA selepas setahun mencipta nama dalam industri muzik tempatan.
Dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA dilihat semakin kukuh sebagai antara kumpulan lelaki paling menyerlah dalam arena hiburan tempatan menerusi identiti muzik yang segar, persembahan bertenaga dan pengaruh yang semakin berkembang dalam kalangan peminat.
Mengandungi 12 lagu, The First Wave menghimpunkan pelbagai warna muzik yang mencerminkan perkembangan dan kematangan ALPHA sepanjang tahun pertama mereka.
Antara lagu yang dimuatkan ialah Mona Lisa (Bang Bang), P. Ramlee Saloma, Bujang, Tiada Pengganti dan single popular mereka, Gelato.
Selain itu, peminat turut bakal menikmati beberapa karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire dan Dia yang menampilkan AG Coco, sekali gus menjadikan album tersebut antara naskhah yang paling dinantikan peminat M-Pop tempatan tahun ini.

Antara lagu yang paling mencuri perhatian ialah Burn It Down, yang dirakamkan di Korea Selatan ketika ALPHA mengikuti latihan intensif menerusi program ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter.
Lagu berkenaan mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah menghasilkan karya untuk kumpulan K-Pop terkenal seperti BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN.
Menurut Daniel Sher, album tersebut merupakan hadiah paling bermakna buat peminat yang sentiasa berada di belakang mereka sepanjang perjalanan setahun ini.
“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan.
“The First Wave adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini, dan kami mahu berkongsi momen istimewa ini dengan semua peminat yang sentiasa menyokong kami sejak hari pertama,” katanya.

Sementara itu, Izat Ibrahim berkata album tersebut memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang serta kepelbagaian daripada segi muzik.
Jelasnya album ini sangat istimewa buat mereka memandangkan setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza.
“Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan mempersembahkan sisi ALPHA yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini.
“Kami benar-benar tidak sabar untuk mendengar reaksi peminat apabila mereka menikmati keseluruhan album ini buat pertama kali,” ujarnya.
Bagi Ray-D pula, The First Wave bukan sekadar sebuah album, sebaliknya rakaman perjalanan dan impian yang sedang dikejar oleh setiap anggota ALPHA.
“Bagi kami, album ini bukan sekadar koleksi lagu. Ia merakamkan perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, impian yang sedang kami kejar dan hubungan yang kami bina bersama peminat sepanjang setahun ini,” tambahnya.
Bagi Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam menyifatkan pelancaran album tersebut sebagai satu pencapaian penting buat ALPHA dan industri muzik tempatan.
Jelasnya, mereka telah membuktikan bahawa mereka memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah kumpulan yang mampu membawa identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.



