Dua Lelaki Rohingya Ditahan JPJ, Saman Panjang Hingga Cecah Jalan

Dua lelaki Rohingya menjadi sasaran tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Alor Setar, baru-baru ini.
Dalam salah satu gambar yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook berkenaan, seorang daripada lelaki itu dilihat memegang sekeping saman yang begitu panjang sehingga menjulur hingga ke atas jalan raya.
Menurut hantaran tersebut, kedua-dua lelaki yang merupakan warga Rohingya itu ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Motosikal JPJ Kedah, yang turut dikenali sebagai skuad Falcon.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.
Selain itu, motosikal yang digunakan juga tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan yang dipamerkan telah tamat tempoh.
Susulan itu, motosikal berkenaan disita dan dibawa ke depoh JPJ Kedah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
JPJ Kedah turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pemandu dan penunggang di negeri tersebut.



