Atuk Menang Ekor RM15.3 Juta Lepas Tikam Nombor Sijil Kelahiran Cucu-Cucunya

Seorang pesara jurujual berusia 62 tahun dari Perak mengalami kejutan terbesar dalam hidupnya selepas nombor yang diinspirasikan daripada sijil kelahiran cucu-cucunya menjadikannya jutawan dalam sekelip mata.
Pemenang bertuah itu merupakan salah seorang daripada dua pemain setia Toto yang baru-baru ini membawa pulang hadiah jackpot berjumlah lebih RM15.3 juta secara keseluruhan.
Menurut kenyataan Sports Toto, pesara dari Perak itu memenangi hadiah Toto 4D Jackpot 1 pada 31 Mei 2026 dengan membawa pulang RM11,806,469.85 daripada jumlah terkumpul jackpot melebihi RM12 juta.
Apa yang menjadikan kemenangan itu lebih bermakna ialah kombinasi nombor kemenangan ‘1660’ dan ‘5093’ diambil daripada nombor sijil kelahiran dua orang cucunya.
Lelaki itu, yang telah bermain permainan Toto selama 30 tahun berkata, dia biasanya membelanjakan antara RM10 hingga RM20 bagi setiap cabutan.
Seperti kebanyakan pemain tetap lain, dia tidak pernah menyangka tabiat yang diamalkan selama bertahun-tahun itu akhirnya akan membawa kemenangan yang mengubah kehidupannya.
“Cucu-cucu saya sentiasa membawa kegembiraan kepada keluarga kami, tetapi saya tidak pernah membayangkan mereka akan mengubah hidup kami dengan cara seperti ini,” katanya.
Pesara itu berkata, dia dibanjiri pelbagai emosi sebaik mengetahui kemenangan tersebut.
Pada mulanya, dia sukar mempercayainya dan terpaksa menyemak keputusan cabutan beberapa kali bagi memastikan dia tidak tersilap.
Selepas mengesahkan kemenangan itu, dia segera berkongsi berita gembira tersebut dengan ahli keluarganya.
Ketika ditanya mengenai perancangannya terhadap wang kemenangan itu, dia berkata dia akan menguruskannya dengan berhati-hati bagi memastikan kebajikan keluarganya terjamin, khususnya masa depan cucu-cucunya.
Sebagai peringatan, judi adalah haram bagi orang Islam.



