Viral

Raja Atiq Dedah Sikap Pelakon Pilih Bulu Di Set, Berubah Wajah Bila Tegur

Pelakon, Raja Atiq, 26, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang pelakon yang didakwa kurang mesra dan bersifat memilih ketika berinteraksi dengan rakan-rakan artis di lokasi penggambaran.

Atiq berkata, dia sentiasa hadir ke set dengan niat untuk bekerja secara profesional serta membina hubungan baik dengan semua pihak demi mewujudkan keserasian sepanjang proses penggambaran.

Bagaimanapun, dia mendakwa terdapat segelintir individu yang menunjukkan layanan berbeza terhadap orang tertentu sehingga menimbulkan rasa kurang selesa.

“Saya datang ke set dengan niat untuk bekerja. Tetapi ada segelintir individu yang hadir ke set, saya tidak pasti bagaimana perasaan atau cara mereka berfikir.

“Mungkin kerana dia mempunyai aura sebagai bintang, mempunyai ramai peminat dan pengikut media sosial, itu tidak menjadi masalah. Saya hormati perkara itu.

“Namun, sikap yang ditunjukkan langsung tidak seiring dengan imej yang dibawa. Saya datang ke set untuk bekerja, membina keserasian, bekerjasama dan menjayakan sesuatu. Bukannya untuk melayan ego sesiapa,” katanya dalam sebuah hantaran di Threads.

Menurut Atiq lagi, individu berkenaan dilihat hanya selesa bergaul dengan kelompok tertentu, malah perubahan riak wajah ketika berdepan individu lain juga cukup ketara.

“Apabila seseorang itu terlalu memilih dengan siapa dia mahu bergaul, dia akan memilih orang tertentu untuk diajak berbual. Malah, riak wajahnya juga boleh berubah secara automatik,” ujarnya.

Tanpa mendedahkan identiti pelakon yang dimaksudkan, Atiq mendakwa dia pernah cuba menegur individu tersebut, namun sambutannya jauh berbeza berbanding layanan yang diberikan kepada rakan-rakan artis lain.

“Dia boleh berbual mesra dengan rakan-rakannya, tetapi apabila saya datang untuk menegur, wajahnya terus berubah. Selepas itu dia kembali berbual dengan orang lain dan kelihatan ceria semula.

“Apa salah saya? Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan pun. Bukan saya mahu mengganggu atau menyusahkan sesiapa. Marilah kita bersikap mesra. Apabila berada di set, semestinya perlu ada keserasian sesama rakan kerja,” katanya lagi.

Atiq berpendapat sikap sedemikian tidak menggambarkan profesionalisme yang sepatutnya ada dalam kalangan penggiat seni, lebih-lebih lagi ketika berada dalam persekitaran kerja yang memerlukan kerjasama semua pihak.

“Walaupun saya tidak mempunyai babak bersama awak atau tidak banyak urusan dengan awak, itu bukan sikap profesional. Pada saya, itu lebih kepada tingkah laku yang lahir daripada rasa tidak yakin diri,” jelasnya.

Dalam masa sama, Atiq mengingatkan bahawa populariti, jumlah pengikut media sosial atau status sebagai selebriti bukan alasan untuk memandang rendah atau mengabaikan rakan sekerja yang lain.

“Tenanglah. Kita bekerja di tempat yang sama. Tiada siapa yang lebih besar daripada kerja yang sedang kita lakukan. Awak mungkin boleh memiliki segala yang diinginkan. Ramai pengikut, ramai peminat, sangat terkenal dan menjadi perhatian ramai.

“Tetapi jika rasa hormat yang paling asas pun tidak ada, itu sesuatu yang perlu difikirkan. Mungkin orang seperti saya dapat melihat sikap itu secara langsung. Tetapi apabila orang lain mula menyedarinya, cepat atau lambat perkara itu akan diketahui juga.

“Tidak salah untuk menjadi seorang bintang. Tetapi apabila berada di tempat kerja atau di set penggambaran, berikanlah sedikit ruang dan penghormatan kepada orang yang bekerja bersama awak.

“Jika perkara asas seperti itu pun sukar untuk dilakukan, saya sendiri tidak tahu apa lagi yang boleh dikatakan,” ungkapnya lagi..

Related Articles

Back to top button