Concert

Ramli Sarip & Ziana Zain Sertai Konsert Homecoming Ella, Lokasi Berpindah ke Setia SPICE Arena

Keterujaan menjelang konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru semakin memuncak apabila dua nama besar industri muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain diumumkan sebagai penyanyi jemputan yang bakal berkongsi pentas bersama Ella.

Pengumuman itu sekali gus menambah nilai tambah kepada konsert istimewa sempena ulang tahun ke-60 Ratu Rock negara yang dijadual berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos hadapan.

Menurut penganjur, beberapa lagi nama artis jemputan turut akan diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan barisan persembahan yang dijangka menjadi antara acara muzik terbesar tahun depan.

Dalam perkembangan sama, Hitman Solutions bersama Rockqueen turut mengumumkan perubahan tarikh dan lokasi penganjuran konsert tersebut berbanding perancangan asal.

Keputusan memindahkan lokasi ke Setia SPICE Arena dibuat selepas penelitian menyeluruh bersama pasukan produksi dan artis dengan matlamat untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih optimum, selesa dan bermakna kepada para peminat yang bakal menghadiri konsert kepulangan istimewa Ella ke negeri kelahirannya.

Pemilihan lokasi tertutup itu dilihat sebagai langkah terbaik bagi menawarkan pengalaman tontonan yang lebih dekat dan mengujakan menerusi susun atur pentas yang lebih mesra penonton, sistem akustik yang lebih terkawal serta perlindungan daripada faktor cuaca yang tidak menentu.

Lebih menarik, Setia SPICE Arena mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam perjalanan seni Ella. Lokasi yang sama pernah menjadi lokasi konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang berjaya menghimpunkan lebih 14,000 peminat, menjadikannya antara lokasi yang cukup sinonim dengan hubungan erat antara Ella dan peminat di Pulau Pinang.

Ramli Sarip dan Ziana Zain bakal bersama Ella kali ini.

Mengulas mengenai perubahan tersebut, Ella berkata keputusan itu dibuat demi memastikan peminat menerima pengalaman terbaik sepanjang konsert berkenaan.

“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa.

“Homecoming insya-Allah akan tetap berlangsung, saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kata Ella.

Menurut pihak penganjur, perpindahan lokasi itu turut mengambil kira permintaan ramai yang mahu mengulangi kemeriahan dan pengalaman luar biasa yang pernah tercipta menerusi konsert terdahulu di venue berkenaan.

Walaupun penganjur pada asalnya berhasrat mengekalkan tarikh 25 Julai , kekangan ketersediaan lokasi menyebabkan 22 Ogos dipilih sebagai tarikh terbaik bagi memastikan kelancaran aspek produksi dan pengalaman penonton.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan terperinci bersama semua pihak yang terlibat.

“Selepas melalui pelbagai pertimbangan bersama semua pihak berkaitan, kami yakin perubahan ini akan memberikan pengalaman yang lebih baik secara keseluruhan kepada para penonton. 

“Setia SPICE Arena menawarkan persekitaran yang lebih sesuai untuk merealisasikan sebuah persembahan yang benar-benar setaraf dengan status Ella sebagai satu-satunya ikon ratu rock negara.

“Walaupun kami pada asalnya berharap untuk mengekalkan tarikh 25 Julai, cuma kekosongan lokasi menjadikan 22 Ogos sebagai pilihan terbaik yang dapat memenuhi keperluan produksi serta pengalaman penonton,” jelasnya.

Penganjur turut mengesahkan harga tiket kekal seperti diumumkan sebelum ini. Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket yang telah dibeli akan dipindahkan secara automatik ke tempat duduk yang mempunyai nilai setara di Setia SPICE Arena tanpa sebarang kos tambahan.

Meneruskan semangat kempen Peace, Love & Rindu, sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada organisasi kebajikan terpilih berdasarkan pilihan pembeli tiket.

Sumbangan bagi kategori Peace akan disalurkan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, kategori Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala kategori Rindu kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Related Articles

Back to top button