Ibu Meninggal Dunia, Tiga Anak OKU Dewasa Kini Hilang Tempat Bergantung

Seorang wanita meninggal dunia pada usia 81 tahun, namun meninggalkan tiga anak lelaki dewasa yang merupakan orang kurang upaya (OKU), dengan dua daripada mereka disahkan mengalami ketidakupayaan mental.
Dengan pemergian satu-satunya penjaga mereka, agensi kerajaan kini perlu mencari penyelesaian penjagaan jangka panjang untuk ketiga-tiga beradik tersebut.
Ahli Parlimen Howard Lee menceritakan tragedi itu menerusi satu hantaran di Facebook, selain menjelaskan kerumitan melibatkan bantuan kebajikan, rawatan perubatan dan penjagaan jangka panjang yang masih sedang diteliti oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, keadaan itu mula mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas seorang orang awam memaklumkan bahawa ibu mereka telah dimasukkan ke hospital.
Lee berkata, apabila wanita yang menjadi penjaga tunggal kepada tiga anak lelakinya itu meninggal dunia pada 12 Jun lalu, pihak berkuasa terpaksa segera mencari penyelesaian untuk masa depan mereka.
Katanya, ketiga-tiga lelaki tersebut tidak mampu menguruskan diri sendiri, walaupun dalam perkara paling asas.
“Tanpa ibu mereka, sukar dibayangkan apa yang akan berlaku kepada mereka. Keadaan hidup mereka sejak ibu mereka dimasukkan ke hospital adalah amat membimbangkan. Perkara ini telah disahkan melalui beberapa lawatan oleh pejabat kami, JKM dan pegawai Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa seorang daripada tiga beradik itu disahkan menghidap skizofrenia, manakala seorang lagi mempunyai gangguan psikiatri yang tidak didedahkan.
Anak kedua pula mengalami masalah pembelajaran yang serius.
Menurut Lee, selepas urusan pengebumian selesai, tumpuan kini beralih kepada isu yang lebih rumit iaitu penjagaan jangka panjang mereka.
Beliau berkata, sepanjang 14 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, ini merupakan kali pertama beliau gagal menemukan penyelesaian yang benar-benar berkesan untuk sebuah keluarga yang berdepan masa depan yang amat sukar.
Dengan pemergian ibu mereka, ketiga-tiga beradik itu juga tidak mempunyai saudara-mara yang boleh mengambil alih tanggungjawab menjaga mereka.
Walaupun institusi kebajikan yang disokong kerajaan boleh menerima anak yang mengalami masalah pembelajaran, pusat tersebut tidak boleh menerima dua lagi adiknya atas kekangan bidang kuasa dan kapasiti.
Bagi anak yang mengalami masalah pembelajaran, Lee yakin sebuah pusat jagaan swasta yang mempunyai kekosongan akan bersedia menerimanya.
Namun, dua lagi beradik yang mempunyai masalah kesihatan mental lebih serius memerlukan kemudahan penjagaan khusus kerana mereka mempunyai tahap pergerakan yang terhad serta memerlukan penilaian dan rawatan psikiatri.
Dengan bantuan Pengarah Kesihatan Negeri dan pengarah hospital, Hospital Bahagia Ulu Kinta bersetuju untuk menjaga kedua-dua mereka.
Bagaimanapun, Lee berkata langkah itu menimbulkan persoalan yang lebih rumit.
“Adakah kita perlu memisahkan mereka? Adakah kita mempunyai pilihan lain?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sistem boleh membantu keluarga yang tidak memenuhi mana-mana kategori penjagaan yang sedia ada.
“Apa yang berlaku apabila sesebuah keluarga berada di antara semua kategori bantuan yang ada?”
Lee kemudian menegaskan bahawa terdapat jurang yang jelas dalam sistem kebajikan sedia ada.
“Jika satu kementerian boleh menjaga seorang adik-beradik dan satu lagi sistem boleh menilai dua yang lain, siapakah yang bertanggungjawab terhadap keluarga itu secara keseluruhan?
“Jika penjagaan hospital hanya bersifat sementara, ke manakah mereka akan pergi selepas selesai penilaian dan rawatan? Jika rumah kebajikan tidak boleh menerima kes ketidakupayaan mental, dan kemudahan psikiatri pula tidak boleh berfungsi sebagai pusat penjagaan sosial jangka panjang, ke manakah seseorang harus pergi apabila dia terlalu sakit untuk ditempatkan di rumah kebajikan tetapi terlalu terabai untuk dilepaskan kembali ke masyarakat?”
Beliau berkata, bagi individu yang mengalami ketidakupayaan mental dan memerlukan penjagaan jangka panjang tanpa sokongan keluarga, perlu ada laluan yang jelas dari segi pembiayaan kewangan dan pengurusan kes antara agensi.
“Apa akan berlaku kepada individu yang mengalami ketidakupayaan mental apabila ibu bapa mereka yang semakin berusia meninggal dunia? Adakah setiap keluarga seperti ini perlu menunggu sehingga berlakunya krisis, kematian, kemasukan ke hospital dan keadaan terdesak sebelum negara menyedari kewujudan mereka?”
Lee menggesa semua agensi berkaitan supaya menangani kelemahan yang wujud dalam sistem tersebut.
“Kita memerlukan kemudahan yang tidak memaksa manusia dimasukkan ke dalam kategori buatan semata-mata kerana undang-undang dan institusi kita dibina secara berasingan.”
Beliau mengakhiri hantarannya dengan persoalan: “Berapa banyak lagi keluarga perlu terjatuh sebelum sistem mengakui bahawa jurang ini benar-benar wujud?” soalnya.



