Opick, Mawi & Rabbani Antara Nama Besar Hibur Peminat Sempena Konsert Malam Qolbu

Sebuah acara hiburan berteraskan nilai kerohanian bakal menghiasi kalendar seni tanah air menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu yang dijadual berlangsung pada 24 Ogos di Idealive Kuala Lumpur.
Bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul, konsert ini tampil sebagai sebuah persembahan seni Islamik yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan penghayatan, sekali gus memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama menghayati sirah serta menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menurut wakil penganjur, Konsert Malam Qolbu lahir daripada hasrat untuk menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui medium seni yang dekat dengan masyarakat masa kini.
“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini. Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.
“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami,” kata pihak pengajur.
Mereka menambah, program seumpama ini diharapkan dapat menjadi platform yang membawa pengisian bermanfaat kepada masyarakat selain menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan hadirin.
“Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat.
“Setiap selawat, doa, ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda,” menurut pengajur lagi.

Mengangkat tema Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu bakal menampilkan barisan artis dan kumpulan nasyid terkenal seperti Opick, Mawi, Rabbani, UNIC serta The Rayhan.
Persembahan yang disusun secara istimewa itu turut dilengkapi dengan Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry, sebelum ditutup dengan alunan Selawat Nabi yang dijangka menyatukan seluruh hadirin dalam suasana penuh makna dan kebersamaan.
Penganjur turut berharap acara berkenaan dapat membuka ruang lebih luas kepada perkembangan hiburan Islamik di Malaysia serta menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda.
“Di negara jiran seperti Indonesia, program dan konsert Islamik mampu mendapat sambutan luar biasa sehingga disiarkan secara langsung di televisyen dan mendapat rating yang tinggi.
“Kami percaya Malaysia juga mempunyai masyarakat yang dahagakan pengisian sebegini. Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah,” jelas penganjur lagi.

Sebagai penganjuran sulung, Konsert Malam Qolbu diharapkan menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif seni yang mengangkat nilai positif, pendidikan dan kerohanian melalui pendekatan yang dekat dengan masyarakat.
Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project dengan kerjasama strategik Laskar Entertainment dalam merealisasikan sebuah acara yang menggabungkan hiburan, inspirasi dan pengisian kerohanian.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh didapati dengan harga RM250 hingga RM350 melalui www.ticketmelon.com/ atau www.fantopia.io/



