Olivia Rodrigo Dedah Masalah Pekak Telinga Kiri

Penyanyi antarabangsa, Olivia Rodrigo, baru-baru ini membuat pendedahan mengejutkan mengenai keadaan kesihatannya ketika muncul sebagai tetamu dalam rancangan radio KISS FM UK bagi mempromosikan album terbaharunya yang dilancarkan pada 12 Jun lalu.
Ketika berbual mengenai salah satu lagu dalam album tersebut, What’s Wrong with Me?, penyanyi berusia 23 tahun itu secara tidak sengaja mendedahkan satu perkara yang mungkin tidak diketahui ramai peminat.
Segalanya bermula apabila pengacara radio, Tyler West, mengajukan soalan yang diinspirasikan daripada judul lagu berkenaan dengan bertanyakan apa sebenarnya yang tidak kena dengan anda.
Tanpa berselindung, penyanyi lagu Deja Vu itu menjawab ada banyak perkara yang tidak kena dengan dirinya termasuklah mengakui pekak 60 peratus pekak pada telinga kiri.
Namun, Olivia tidak melihat keadaan tersebut sebagai sesuatu yang memalukan. Sebaliknya, beliau memilih untuk menjadikannya bahan jenaka.
“Jadi, kalau anda duduk di sebelah kiri saya dan cuba membisikkan rahsia, saya mungkin tidak dapat memahami apa yang anda katakan. Kalau mahu beritahu rahsia, pastikan di sebelah kanan saya,” katanya sambil ketawa.
Rupa-rupanya, ini bukan kali pertama Olivia berkongsi mengenai masalah pendengarannya.
Dalam temu bual bersama The Hollywood Reporter pada tahun 2023, beliau pernah mendedahkan bahawa masalah tersebut hanya disedari ketika masih di tadika.
“Ia agak luar biasa. Telinga kiri saya separuh pekak. Saya tidak mengetahuinya sehinggalah pihak sekolah menjalankan ujian pendengaran ke atas semua murid dan memaklumkan bahawa saya mempunyai masalah pendengaran,” jelasnya.
Olivia turut berkongsi kisah lucu mengenai seorang rakannya yang mempunyai masalah penglihatan tetapi bekerja sebagai jurugambar profesional.
“Kami selalu bergurau bahawa saya menghasilkan muzik kerana pendengaran saya kurang baik, manakala dia mengambil gambar kerana penglihatannya kurang baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Olivia turut membuka mulut mengenai kritikan hebat yang diterimanya daripada segelintir pihak berhubung penampilannya dalam Billions Club Live with Olivia Rodrigo: A Concert Film.
Penyanyi itu menjadi sasaran kecaman selepas tampil mengenakan gaun gaya babydoll, yang menurut pengkritik tertentu seolah-olah menampilkan imej keanak-anakan sambil pada masa sama memberi unsur seksualisasi terhadap penampilannya.
Ketika muncul dalam podcast The New York Times, Olivia mengakui dirinya berasa sangat terganggu dengan tuduhan tersebut.
“Perkara itu benar-benar membuatkan saya marah memandangkan perkara itu dijadikan isu,” katanya.



