Film

Filem Polong… 12 Hari Di Pawagam, 12 Juta Kutipan

Filem seram tempatan, Polong terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM12 juta hasil jualan tiket selepas sesi tayangan awal dan 12 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan naskhah seram tempatan masih mempunyai pengaruh besar dalam menarik penonton ke pawagam sejak mula ditayangkan pada 28 Mei lalu.

Pencapaian itu juga menunjukkan karya tempatan yang dihasilkan dengan identiti serta kualiti tersendiri masih mampu mencuri perhatian dan mencetuskan fenomena dalam kalangan pencinta filem.

Bagi mendekati peminat, promosi filem itu turut diperhebat menerusi siri Jelajah Bisikan Polong yang berlangsung di Terengganu dan Pahang baru-baru ini.

Jelajah berkenaan disertai barisan pelakon utama seperti Mimi Lana, Fad Anuar dan Jun Lojong yang hadir ke lima lokasi bagi memberi peluang kepada peminat bertemu mereka secara lebih dekat.

Sejak ditayangkan, Polong bukan sahaja hangat diperkatakan di media sosial, malah menerima pelbagai reaksi positif daripada penonton yang memuji kekuatan jalan cerita, elemen seram yang mendebarkan emosi serta plot twist yang meninggalkan kesan mendalam.

Filem arahan Zulkarnain Azhar itu mengetengahkan kisah berkaitan legasi ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi.

Gabungan elemen seram tradisional tempatan bersama naratif psikologi yang lebih mendalam menjadikan Polong tampil berbeza sekali gus berjaya menarik perhatian peminat genre seram.

Diterbitkan oleh Golden Star Pictures dengan sokongan pengedaran daripada 10 Star Cinemas serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios dan Astro Shaw, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Namron, Nadiya Nisaa dan Amir Nafis.

Related Articles

Back to top button