Penantian Sedekad Berbaloi, Andi Bernadee Pertaruh Ding Geding

Penantian hampir sedekad akhirnya berbaloi buat penyanyi dan penulis lagu, Andi Bernadee, apabila berjaya merealisasikan impiannya melancarkan album sulung berjudul Ding Geding selepas sembilan tahun berkarya dalam industri muzik tempatan.
Lebih bermakna, album yang memuatkan 12 buah lagu itu hadir selepas Andi berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan fizikal dan mental yang pernah hampir menggugat perjalanan seninya. Namun, semangat untuk menyiapkan album impian itu tidak pernah luntur.
Menurut Andi, pelancaran Ding Geding menjadi antara momen paling emosional dalam kerjayanya.
“Sejujurnya saya rasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.
“Saya pernah melalui fasa di mana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio dan meneruskan perjuangan selagi ada kudrat,” katanya.
Album tersebut menampilkan pelbagai warna muzik dan emosi yang mencerminkan perjalanan hidup, pengalaman serta kematangan Andi sebagai seorang pengkarya.
Bagi Andi, Ding Geding bukan sekadar himpunan lagu, tetapi sebuah karya yang merakamkan pelbagai fasa kehidupan manusia.
“Album ini ada momen seronok, kecewa, bingung dan bahagia. Semua emosi itu ada dalam satu album kerana itulah realiti kehidupan sebenar.
“Emosi manusia sentiasa berubah-ubah dan saya mahu pendengar merasai perjalanan tersebut bersama saya,” jelasnya.

Menerusi album ini, Andi turut memperlihatkan sisi dirinya yang lebih berani bereksperimen dengan pelbagai genre dan pendekatan muzik baharu tanpa meninggalkan identiti yang sudah sinonim dengan peminat.
Daripada 12 lagu yang dimuatkan dalam album tersebut, lagu berjudul Seksa Jiwa disifatkan sebagai antara karya paling dekat di hati Andi.
Lagu berentak soul ballad itu dianggap mencabar kerana berada di luar kebiasaan muzik yang sering dibawanya sebelum ini. Namun, proses menghasilkan lagu tersebut akhirnya memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
“Menyiapkan Seksa Jiwa bukan sesuatu yang mudah kerana rentak itu bukan makanan saya. Tetapi apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara lagu kegemaran saya dalam album ini.
“Lagu itu benar-benar memberi kesan apabila didengari seorang diri,” katanya.

Menariknya, judul album Ding Geding diambil daripada frasa ikonik ‘berding-geding’ yang disebut oleh watak anak jin dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab.
Inspirasi tersebut kemudiannya berkembang menjadi konsep album yang bersifat santai, playful dan mudah diingati, selari dengan hasrat Andi untuk menghasilkan karya yang mampu memberikan pengalaman mendengar yang menyeronokkan.
Di sebalik pelbagai eksperimen muzik yang diketengahkan, Andi berharap setiap lagu dalam Ding Geding mampu menjadi teman kepada pendengar yang sedang melalui pelbagai cabaran hidup.
Menurutnya, jika karya yang dihasilkan mampu memberi semangat atau membuatkan seseorang berasa difahami, itu sudah cukup bermakna buat dirinya sebagai seorang pengkarya.
“Saya harap selepas mendengar album ini, mereka akan rasa bahawa mereka tidak keseorangan. Jika ada mana-mana lagu yang boleh menjadi teman, memberi semangat atau membuatkan mereka rasa difahami, itu sudah sangat bermakna untuk saya.”
Album Ding Geding kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun lalu.



