“Lebih Baik Fokus Isu Semasa Daripada Fikir Penampilan Saya”

Pelakon, Fasha Sandha, 42, memilih untuk mengunci mulut mengenai isu penampilannya yang tidak berhijab dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Love Of My Life.
Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, berkata dia enggan memberi sebarang ulasan meskipun video babak drama tersebut yang dimuat naik di Instagram mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menurutnya, dia sudah lama mengambil keputusan untuk tidak bercakap mengenai soal penampilan sama ada di dalam drama mahupun kehidupan peribadi.
“Apa yang saya boleh katakan, saya tiada komen mengenai isu ini. Memang dari dulu sampai sekarang saya tak pernah komen apa-apa.
“Saya masih mengambil pendekatan untuk tidak komen sama ada saya berhijab dalam drama atau pun di luar drama.
“Sudah lebih setahun orang bertanya perkara sama tetapi saya tetap tidak akan komen,” katanya.
Isteri kepada aktor Aidil Aziz itu bagaimanapun mengakui dia menghargai mereka yang mengambil berat tentang dirinya, namun tidak terkesan dengan kecaman segelintir pihak.
“Saya hargai setiap pertanyaan mereka yang peduli tentang saya. Untuk yang menghakimi, saya tak kisah,” ujarnya.
Ketika diajukan sama ada penampilannya dalam drama itu merupakan tuntutan watak, Fasha tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengulas lebih lanjut.
“Apa yang boleh saya katakan, ia bukan kehendak penerbit atau pengarah. Saya perlu melindungi mereka. Itu sahaja yang boleh saya cakap,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Fasha berharap orang ramai tidak terlalu memberi tumpuan terhadap isu penampilannya kerana masih banyak perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian.
“Saya rasa lebih baik fokus kepada isu-isu semasa yang lain daripada sibuk memikirkan tentang penampilan saya. Buang masa sahaja,” ungkapnya.



