Global

LE SSERAFIM Dikritik Gara-Gara Kolaborasi Remix BOOMPALA

Kumpulan LE SSERAFIM menerima kritikan daripada sebahagian peminat selepas mengumumkan versi remix baharu bagi lagu terbaharu mereka, BOOMPALA.

Remix tersebut menampilkan penyanyi India, Guru Randhawa, yang merupakan antara artis terkenal dalam industri muzik India. Namun, penglibatannya segera menjadi topik kontroversi dalam talian susulan kritikan yang pernah diterimanya berkaitan salah satu video muziknya sebelum ini.

Guru Randhawa pernah dikecam berhubung video muzik lagunya Azul. Ketika itu, ramai penonton menuduh video tersebut menampilkan gambaran yang terlalu menjurus kepada seksualisasi pelajar perempuan sekolah, selain mengkritik hubungan yang dianggap tidak sesuai antara watak jurugambar dan watak pelajar dalam jalan cerita video berkenaan.

Selepas berita kolaborasi itu tersebar, sebahagian peminat meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati menerusi platform X.

Ramai yang mempersoalkan mengapa agensi LE SSERAFIM memilih untuk bekerjasama dengan seorang artis yang pernah terpalit dengan kontroversi sedemikian.

“Bukankah ini lelaki yang pernah menjadikan watak pelajar sekolah sebagai minat cinta dalam video muziknya? Apa yang HYBE sedang lakukan?” tanya netizen.

Selain itu, ada juga peminat yang mengkritik Guru Randhawa kerana didakwa mengehadkan ruangan komen di akaun media sosialnya berbanding memberikan penjelasan atau memohon maaf secara terbuka mengenai isu tersebut.

“Hakikat bahawa dia mengehadkan komen daripada menangani isu ini dan meminta maaf memang menjijikkan,” ujar seorang peminat.

Walaupun ada peminat yang menggesa agar kerjasama tersebut diteliti dengan lebih mendalam, setakat ini HYBEmahupun Source Music belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kritikan yang timbul terhadap remix berkenaan.

Seorang pengguna lain turut menulis: “Ia memang seiring dengan imej HYBE kerana mereka suka mencari dan mendebutkan artis bawah umur,” tulisnya.

Namun begitu, kedua-dua syarikat masih belum memberikan sebarang respons awam terhadap kritikan yang sedang hangat diperkatakan itu.

Related Articles

Back to top button