Kaka Azraff & Suami Cerai Kali Kedua

Rumah tangga penyanyi, Kaka Azraff dan suaminya, Adam Azriff sekali lagi menemui noktah apabila pasangan itu disahkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Mengakui berat untuk menerima kenyataan tersebut, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, bagaimanapun reda dengan takdir yang telah ditentukan buat dirinya dan keluarga.
Menurut Kaka, dia dan bekas suami sudah melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan rumah tangga mereka sebelum ini, namun perancangan Allah lebih baik dan dia memilih untuk menerima segala yang berlaku dengan hati terbuka.
“Inilah hidup. Ia mengajar kita untuk cuba buat yang terbaik. Sudah cuba buat yang terbaik tetapi tidak menyebelahi apa yang kita impikan.
“Rasa puas untuk mencuba itu cukup. Sekurang-kurangnya kita dah mencuba. Ini bukan nak salahkan sesiapa, ini takdir dan terima hakikat,” ujarnya.
Penyanyi lagu Gila itu berkata, fokus utamanya kini adalah meneruskan kehidupan demi membesarkan tiga cahaya mata mereka dengan sebaik mungkin.
Dalam masa sama, Kaka mengakui perjalanan hidup sebagai ibu tunggal bukan sesuatu yang mudah, namun dia percaya setiap ujian hadir dengan hikmah tersendiri.
Katanya, pengalaman melihat ibunya membesarkan anak-anak seorang diri sebelum ini sedikit sebanyak memberi kekuatan buat dirinya untuk terus melangkah ke hadapan.
“Ibu saya besarkan saya sebagai single mother, tapi kerana bercerai mati. Bukan mudah, tapi inilah kehidupan.
“Saya ambil sebagai pengajaran untuk perbaiki diri menjadi lebih baik,” katanya seperti dilapor Mstar.
Sebelum ini, Kaka dan Adam pernah melalui episod penceraian pada 28 Oktober 2024 sebelum kembali rujuk ketika masih dalam tempoh idah pada awal tahun 2025.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Aslan, Aryan dan Atta Adam.



