Liza Hanim Tak Kisah Dilabel Ibu ‘Over Protective’

Penyanyi, Liza Hanim, 46, menegaskan dirinya tidak kisah dengan tanggapan segelintir netizen yang mendakwa dia terlalu melindungi anak perempuannya, Marsya Qistina.
Menurut Liza, naluri seorang ibu sememangnya mahu sentiasa menjaga dan mempertahankan anak-anak, lebih-lebih lagi apabila mereka baru melangkah ke dunia hiburan yang penuh cabaran.
Katanya, tidak semua individu memahami perasaan seorang ibu sehingga ada yang menganggap tindakannya dilakukan atas kepentingan diri sendiri.
“Mungkin ada yang tidak faham bagaimana perasaan seorang ibu. Bagi saya, semua ibu bapa pasti ada naluri untuk melindungi anak-anak mereka.
“Jadi apabila ada yang kata saya terlalu mempertahankan anak kerana diri sendiri, mungkin mereka belum pernah berada dalam situasi itu atau belum menjadi ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, Liza menjelaskan sikapnya bukanlah kerana terlalu memanjakan anak, sebaliknya mahu memastikan anak-anak sentiasa mempunyai tempat untuk bergantung ketika berdepan kesusahan.
Menurutnya, setiap anak perlu tahu bahawa keluarga akan sentiasa menjadi ruang paling selamat untuk mereka kembali mencari kekuatan.
“Bukan bermaksud kita manjakan anak sampai mereka tak boleh berdikari. Marsya seorang anak yang matang dan sangat berdikari untuk usianya.
“Tetapi sebagai ibu, saya mahu anak-anak tahu bahawa walau apa pun yang berlaku, mereka sentiasa ada tempat untuk pulang dan rasa selamat. Itu yang paling penting,” ujarnya.
Tambah penyanyi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu lagi, dia bersyukur kerana Marsya seorang yang kuat selain tahu menguruskan kehidupannya sendiri walaupun masih muda.
Pada masa sama, Liza mengakui dirinya juga sedang belajar untuk lebih tenang dalam menghadapi setiap situasi membabitkan anak-anak.
“Saya percaya kebanyakan ibu mempunyai perasaan yang sama, cuma mungkin cara masing-masing berbeza. Kalau langsung tiada rasa mahu melindungi anak, bagi saya itu agak pelik.
“Ramai nampak saya seperti terlalu overprotective, tetapi sebenarnya saya masih memberi kebebasan kepada Marsya untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju hidupnya sendiri,” katanya.
Menurut Liza lagi, selagi anaknya tahu apa yang dilakukan dan berpegang kepada perancangan hidup yang baik, dia akan terus memberi sokongan penuh.
“Sebagai ibu, saya hanya mahu berada di belakang anak untuk menyokong mereka. Dalam masa sama, saya juga sedang belajar untuk perlahan-lahan melepaskan dan tidak terlalu risau,” ungkapnya.



