Berita

Wanita Dakwa Disamun Ketika Buang Air Besar Tepi Jalan Rupanya Hanya Reka Cerita

Seorang wanita berusia 29 tahun di Miri, Sarawak kini disiasat polis selepas didapati membuat laporan palsu mengenai kejadian samun yang didakwanya berlaku minggu lalu.

Menurut laporan The Borneo Post, wanita itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, wanita tersebut membuat laporan polis pada pukul 1.58 pagi, 28 Mei lalu dengan mendakwa dia disamun berhampiran Miri Gospel Church kira-kira jam 10 malam pada 27 Mei.

Menurutnya, wanita itu mendakwa dia memberhentikan keretanya di tepi jalan dan sedang membuang air besar di kawasan tersebut sebelum didatangi empat lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Dia mendakwa salah seorang suspek mengacukan pistol ke arahnya sebelum melarikan rantai emas, cincin emas, gelang emas serta wang tunai RM350.

Suspek dikatakan melarikan diri selepas kejadian, menyebabkan wanita itu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM3,130.

Susulan laporan tersebut, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan kes samun berkumpulan bersenjata.

Bagaimanapun, Mohd Farhan berkata, siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri menemui beberapa percanggahan dan keraguan dalam keterangan wanita itu.

Apabila siasatan diperincikan dan bukti dikemukakan kepadanya, wanita tersebut akhirnya mengaku bahawa kejadian samun itu sebenarnya direka.

Polis turut mendapati barang kemas dan wang tunai yang didakwa dicuri masih berada dalam simpanannya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu demi kepentingan peribadi kerana tindakan sedemikian membazirkan sumber awam serta boleh menjejaskan siasatan terhadap kes-kes sebenar.

Related Articles

Back to top button