Trending

“Terima Kasih Menjadi Insan Yang Sentiasa Prihatin & Sabar”

Pelakon dan penyanyi, Nur Fazura menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran sahabat baiknya, pelakon Que Haidar yang genap berusia 47 tahun, baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin mengimbau kembali perjalanan persahabatan mereka yang telah terjalin lebih dua dekad, jauh sebelum kedua-duanya aktif dalam industri hiburan tanah air.

Menurut aktres berusia 42 tahun itu, mereka kembali dipertemukan selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing, namun hubungan persahabatan yang terjalin kekal utuh sehingga hari ini.

“Selamat hari ulang tahun kelahiran buatmu, Tengku Iskhan Shah. Persahabatan kita bukanlah sebentar, tetapi lebih daripada 20 tahun.

“Kini kita dipertemukan kembali setelah 16 tahun dalam fasa yang jauh berbeza dengan pelbagai pengalaman yang mematangkan kita,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Selain memuat naik foto terkini Que, Fazura turut berkongsi beberapa momen lama mereka termasuk babak ketika bergandingan dalam filem romantik Selamat Pagi Cinta yang ditayangkan pada tahun 2008.

Dalam perkongsian sama, iFazura turut menzahirkan doa agar Que sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta terus menjadi insan yang memiliki nilai empati dan budi pekerti yang tinggi.

“Doa saya, semoga awak sentiasa berada dalam lindungan, petunjuk dan rahmat Allah SWT, istiqamah dalam setiap ibadah serta terus kekal menjadi insan yang tinggi empati dan budi pekerti.

“47 tahun yang cukup istimewa dan bermakna, pastinya penuh suka dan duka, namun sering tidak gemar diungkapkan kerana awak sentiasa memilih melihat terangnya cahaya matahari berbanding gelapnya hujan,” katanya.

Tidak hanya itu, Fazura turut meluahkan penghargaan terhadap segala kebaikan yang pernah ditunjukkan Que sepanjang persahabatan mereka, terutama ketika dirinya melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Terima kasih kerana menjadi insan yang sentiasa prihatin, sabar dan mahu melihat saya tersenyum dalam apa jua keadaan.

“Selamat ulang tahun, Que Haidar. Semoga ini menjadi satu permulaan yang baik untuk hidup awak,” ujarnya lagi.

Terdahulu, keakraban Fazura dan Que sering menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas kedua-duanya dilihat kerap meluangkan masa bersama. Bagaimanapun, mereka sebelum ini menegaskan hubungan yang terjalin hanyalah sebagai sahabat baik dan rakan seperjuangan dalam industri seni.

Related Articles

Back to top button