Hilang Lepas Hadiri Majlis Kahwin, Ditemui Tidur Sebelah Mesin Basuh

Seorang lelaki di Sarawak yang dilaporkan hilang selepas menghadiri sebuah majlis perkahwinan akhirnya ditemui dalam keadaan selamat, namun di lokasi yang tidak dijangka.
Dia rupa-rupanya tertidur di sebelah sebuah mesin basuh di rumah jirannya.
Menurut laporan Buletin TV3, kejadian itu berlaku di Kampung Sira, Padawan selepas lelaki tersebut menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah gereja di kampung berkenaan pada malam sebelumnya.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dikerahkan ke lokasi.
Dua anggota bomba bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux tiba di lokasi pada jam 5.14 pagi bagi menjalankan operasi pencarian.
Siasatan awal mendapati lelaki tersebut, yang juga merupakan abang ipar kepada pengadu, telah menghadiri majlis perkahwinan berkenaan sebelum dilaporkan hilang.
Selepas makan dan minum di majlis tersebut, dia dikatakan keluar untuk membuang air kecil.
Bagaimanapun, dia gagal ditemui selepas itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya.
Anggota bomba kemudian mengumpulkan maklumat mengenai kehilangannya dan bersedia melancarkan operasi pencarian bersama polis, ahli keluarga serta penduduk kampung.
Namun sebelum operasi pencarian dapat dimulakan sepenuhnya, lelaki itu berjaya ditemui oleh penduduk kampung kira-kira jam 6 pagi.
Dia ditemui dalam keadaan selamat sedang tidur di sebelah mesin basuh di rumah jirannya.
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi itu kemudiannya ditamatkan pada jam 6.09 pagi.



