“Saya Nekad Tidak Lagi Berlakon”

Usahawan selebriti, Hanis Zalikha, 36, mengakui tidak pernah menyesali keputusan meninggalkan dunia lakonan dan peragaan demi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga serta masa depan anak-anak.
Menurut Hanis, keputusan besar itu dibuat ketika namanya sedang berada di puncak populariti, namun dia nekad untuk mengubah haluan hidup sebaik mendirikan rumah tangga dengan Hairul Azreen dan bergelar ibu.
Hanis berkata, dia tidak pernah menoleh ke belakang selepas membuat keputusan meninggalkan dunia seni kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga.
“Selepas berkahwin dan memiliki anak, saya memang nekad untuk tidak lagi meneruskan berlakon dan peragaan.
“Hairul sendiri tahu kehidupan sebagai pelakon sangat sibuk sehingga masa bersama keluarga juga agak terhad, tambahan pula ketika itu anak-anak masih kecil,” katanya.
Hanis turut meluahkan rasa syukur apabila keputusan tersebut membuka jalan baharu buat dirinya dan suami dalam dunia perniagaan sehingga mampu bertahan selama sedekad.
Katanya, sepanjang menguruskan perniagaan bersama suami, mereka sentiasa berdepan pelbagai cabaran, namun setiap ujian dianggap sebagai proses pembelajaran untuk terus berkembang.
“Kami sedar dunia perniagaan memang ada risikonya, tetapi ketika awal perkahwinan dahulu kami banyak memikirkan cara untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.
“Hairul mulakan dengan studio produksi sebelum kami membangunkan jenama sendiri. Bermula dengan tudung, kami sendiri tidak sangka Cakenis kini berkembang ke pelbagai produk lain,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Hanis dan Hairul mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.



