Music

Ernie Zakri Jawab Dakwaan Sudah Hilang ‘Aura’ Selepas Kahwin?

Penyanyi, Ernie Zakri, 34, memilih untuk terus bersikap positif meskipun sering menjadi sasaran pelbagai komen netizen termasuk dakwaan kononnya dirinya sudah hilang aura dan tidak lagi memiliki ‘kelas’ selepas mendirikan rumah tangga.

Menurut Ernie, dia kini lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana serta menjadi dirinya sendiri tanpa perlu terlalu memikirkan persepsi orang ramai.

Ernie berkata, apa sahaja yang dilakukan pasti akan mengundang kritikan sama ada berkaitan kerjaya seni mahupun kehidupan peribadi.

“Netizen boleh kata apa mereka suka. Saya gembira dengan apa yang saya ada. Kadang-kadang kalau kita kahwin ada isu, tak kahwin pun tetap ada isu.

“Sekarang ini saya hanya hidup seperti biasa dengan bahagia. Saya tonjolkan diri sebenar dan tidak cuba menjadi orang lain.

“Ada yang suka dan ada yang tidak suka, itu perkara biasa. Selagi keluarga tahu saya masih menjaga batas, itu sudah memadai,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Ku Bersuara itu tidak menafikan ada segelintir komen negatif yang sedikit sebanyak mengguris perasaannya, namun dia memilih untuk tidak terlalu melayan perkara tersebut demi menjaga emosi dan mental.

Sebaliknya, Ernie menganggap setiap kritikan sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan terus berkembang dalam industri seni.

“Saya manusia biasa. Bila baca komen netizen memang ada terasa dengan beberapa perkataan, tetapi saya cuba untuk tidak ambil hati. Kalau tidak memang boleh jadi tekanan.

“Dalam masa sama saya bersyukur kerana orang masih melihat saya sebagai penyanyi dan masih mahu mendengar saya menyanyi walaupun saya terlibat dengan perkara lain.

“Bagi saya, itu tanda peminat masih sayang dan ambil berat terhadap Ernie Zakri,” ujarnya lagi.

Tambah Ernie, dia sentiasa terbuka menerima pandangan peminat terutama melibatkan perjalanan karier serta hala tuju muziknya pada masa akan datang.

“Ada input yang baik saya ambil dan bincang dengan pasukan tentang apa yang peminat mahukan.

“Apa sahaja yang saya baca di Threads, saya jadikan bahan perbincangan. Saya tidak pandang ringan perkara itu.

“Saya masih berada dalam industri ini pun kerana sokongan peminat. Kalau mereka tidak beri perhatian, mungkin lagu baharu saya pun orang tidak mahu dengar,” katanya lagi.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads mencadangkan agar Ernie memperkemaskan semula diskografi muzik terkininya yang didakwa agak ‘berselerak’ selain lebih memberi fokus terhadap arah tuju album baharu.

Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial lain, termasuk ada yang mendakwa kerjaya penyanyi itu dilihat semakin ‘serabut’ selepas berkahwin.

Related Articles

Back to top button