“Perempuan Nasib Malang Kalau Dapat Pasangan NPD”

Pelakon, Syifa Melvin, 32, berpandangan wanita berdepan risiko besar sekiranya tersalah memilih pasangan hidup, lebih-lebih lagi jika individu tersebut mempunyai sikap toksik atau gangguan personaliti narsistik (NPD).
Menurut pemilik nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, setiap hubungan sememangnya mempunyai kekurangan tersendiri, namun keadaan boleh menjadi lebih sukar apabila pasangan memberi tekanan emosi sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga.
“Sebenarnya perempuan ini sedih sangat nasibnya kalau dapat pasangan hidup yang salah. Semua pasangan memang tidak sempurna, tetapi paling malang bila dapat versi NPD.
“Lebih menyedihkan apabila keluarga mentua sedar perkara buruk berlaku, tetapi tetap menyalahkan si perempuan itu, memang pedih,” katanya menerusi satu hantaran.
Isteri kepada pemain bola sepak Safawi Rasid itu dalam masa sama turut menitipkan nasihat kepada wanita bujang agar tidak terlalu tertekan memikirkan soal jodoh dan perkahwinan.
“Saya selalu pesan kepada kawan-kawan jangan sedih kalau belum berkahwin. Nikmati sahaja kehidupan sekarang.
“Lebih sedih kalau dapat pasangan yang salah. Perkahwinan ini sebenarnya seperti mempertaruhkan nasib, lebih-lebih lagi bila sudah ada anak,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan dikongsikan Syifa selain menganggap pemilihan pasangan hidup bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu yang memberikan pandangan berbeza, namun kebanyakan netizen melihat kenyataan Syifa sebagai peringatan berguna khususnya buat golongan wanita.
Terdahulu, Syifa yang juga kakak kepada Syida Melvin pernah meluahkan rasa simpati terhadap adiknya itu selepas berdepan kemelut rumah tangga.
Untuk rekod, Syida dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Disember tahun lalu selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, manakala sebutan pertama kes berkenaan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 2 April lalu.



