Film

Muka Baharu Taruhan Kata Hati, Ini Naskhah Romantik Komedi Wajib Ditonton

Filem romantik komedi tempatan terus menerima nafas baharu menerusi kemunculan Kata Hati, sebuah naskhah yang menggabungkan cinta, humor dan sisi sebenar kehidupan dunia glamor dalam satu penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

Diterbitkan oleh Wayangworks Sdn. Bhd. bersama Filmscape Sdn. Bhd., filem tersebut bukan sekadar mengetengahkan kisah percintaan biasa, sebaliknya menyelami kehidupan seorang selebriti popular di sebalik sorotan kamera.

Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea penghasilan filem itu tercetus hasil pengalamannya sendiri sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan.

“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti itu dan disulami dengan sebuah jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” katanya.

Naskhah ini mendapat sambutan baik daripada penggemar filem yang hadir ke tayangan perdana Kata Hati baru-baru ini.

Naskhah arahan Nadiah Hamzah itu membawa penonton mengikuti kisah cinta tidak dijangka antara seorang pelakon wanita terkenal dan seorang pemandu e-hailing, sekali gus menjadikan jalan ceritanya tampil lebih segar dan berbeza.

Menariknya, Kata Hati mempertaruhkan wajah-wajah baharu seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama. Mereka turut digandingkan bersama pelakon terkenal termasuk Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.

Bukan itu sahaja, filem tersebut turut menampilkan kemunculan istimewa beberapa nama besar industri seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon yang dijangka menambah seri penceritaan.

Dalam pada itu, penerbit eksekutif Juliana Foo percaya sudah tiba masanya penonton disajikan semula dengan filem cinta ringan selepas industri dibanjiri karya aksi dan seram sejak kebelakangan ini.

“Ternyata Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ serta memberikan momen yang indah dan tersendiri buat mereka yang menontonnya nanti di pawagam,” jelasnya.

Bagi Nadiah Hamzah pula, filem itu menjanjikan pelbagai emosi kepada penonton menerusi gabungan elemen romantik dan komedi yang disampaikan secara unik.

Penggambaran filem ini dilakukan dengan teliti bagi menjaga kualiti keseluruhan naskhah.

Pengarah filem Motif itu mengakui dia mahu tampil dengan karya yang lebih ringan kali ini, namun masih mempunyai sentuhan emosi yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

“Berkenaan dengan pemilihan pelakon pula, Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi casting dan tidak dinafikan mereka antara pendatang baharu dalam dunia layar lebar.

“Namun begitu, apa yang paling mengejutkan buat saya adalah kesungguhan mereka untuk memberikan sebuah lakonan yang mantap dan komitmen ketiga-tiganya memang wajar dipuji,” katanya.

Tambah Nadiah lagi, dia berharap penonton dapat menghayati kejujuran kisah cinta yang dipaparkan menerusi filem tersebut.

“Sudah tentu saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa.

“Apa yang boleh saya katakan, ia bakal menyentuh emosi melalui tangisan dan gelak ketawa dan mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” ujarnya.

Penggambaran Kata Hati telah dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos tahun lalu. Filem itu dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun ini.

Related Articles

Back to top button