Berita

Lelaki Tertidur Sebelum Rebah & Maut Di Pasar Terbuka Sarikei

Seorang lelaki mengejutkan para pengunjung dan peniaga di Sarikei selepas dia tiba-tiba rebah dari kerusinya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut The Borneo Post, kejadian itu berlaku di sebuah pasar terbuka di sepanjang Jalan Merdeka pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Aswandy Anis berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki tersebut dipercayai tertidur di salah satu meja di kawasan pasar sekitar jam 4 pagi.

Namun pada jam 8.25 pagi, mangsa tiba-tiba terjatuh dari kerusi ke lantai, menyebabkan seorang pemilik kedai berhampiran segera menghubungi pihak kecemasan.

Malangnya, petugas perubatan mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

Menurut Aswandy Anis, pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ahli keluarga mangsa juga telah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan.

Dia turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Related Articles

Back to top button