“Orang Industri Takut AI Sebab Mereka Fikir Teknologi Ambil Alih Pekerjaaan”

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 55, menegaskan industri kreatif tidak wajar melihat perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai ancaman, sebaliknya perlu memanfaatkannya sebagai alat sokongan dalam mempercepatkan proses produksi kandungan.
Menurut Hans, AI bukanlah teknologi yang akan menggantikan tenaga kerja manusia, sebaliknya masih memerlukan sentuhan serta kepakaran penggiat kreatif dalam menghasilkan karya berkualiti.
Jelasnya, penggunaan AI berpotensi besar membantu memendekkan tempoh penggambaran sekali gus memberi kesan positif terhadap kos penerbitan sesebuah produksi.
“Ada orang dalam industri takut dengan AI sebab mereka fikir teknologi ini akan ambil alih pekerjaan.
“AI masih menggunakan individu kreatif dan pakar industri. Cuma kalau dulu penggambaran ambil masa 100 hari, dengan AI kita boleh pendekkan kepada 60 hari,” katanya.
Tambah Hans, penjimatan kos yang diperoleh daripada penggunaan teknologi itu boleh dimanfaatkan semula untuk meningkatkan kebajikan serta bayaran kru produksi yang terlibat.
“Bila kos dapat dijimatkan, lebihan bajet itu boleh digunakan untuk tingkatkan gaji pekerja produksi. Itu yang kita mahu bantu industri,” ujarnya lagi seperti dilapor Berita Harian.
Dalam perkembangan berkaitan, FINAS bersama TikTok Malaysia turut menjalin kerjasama strategik menerusi penyerahan Letter of Intent (LoI) bagi memperkukuh ekosistem kandungan digital tempatan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang merasmikan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Penutupan Hari Belia Negara 2026 (HBN2026) peringkat Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, FINAS turut menyambut baik pengumuman Dana Pemangkin Generasi MADANI berjumlah RM5 juta yang diumumkan oleh Fahmi pada majlis sama.



