“Lepas Anak Meninggal Dunia, Menantu Pula Disahkan Hidap Kanser”

Penyanyi, Sheeda, 62, mendedahkan dirinya sekali lagi diuji apabila menantunya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat biarpun dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kesedihan kehilangan anak tercinta dua tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Sayyida Beevi, berkata dugaan terbaharu itu cukup berat buat dirinya memandangkan dia baru sahaja cuba bangkit daripada trauma selepas pemergian anak akibat penyakit kronik.
“Selepas anak saya meninggal dunia, saya panggil anak lelaki tinggal bersama untuk menemani saya. Menantu dan cucu pun sama, bila mereka ada terubat rindu saya.
“Tapi Allah uji sekali lagi apabila menantu saya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat,” katanya.
Menurut penyanyi dangdut itu lagi, kehilangan anak sebelum ini memberi kesan mendalam terhadap emosi dan mentalnya sehingga dia mengalami trauma yang sukar digambarkan.
“Saya rasa ‘lost’, mental, tak boleh jumpa orang dan trauma dengan hospital serta ambulans. Saya macam nak gila tapi selepas itu saya mula pulih,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sheeda mengakui kenangan bersama arwah anaknya masih segar dalam ingatan dan sukar untuk dilupakan sehingga hari ini.
“Dekat sini (hati) sangat sakit dan sentiasa sakit. Memori dekat anak (tak lupa) sebab dia satu-satunya yang duduk dengan saya tiba-tiba tiada,” jelasnya lagi.
Terdahulu, anak ketiga Sheeda iaitu Nurfazlinda Ahmad Fazli dilaporkan meninggal dunia akibat kanser hati pada tahun 2024.



