Trending

Rayuan Visa Haji Tak Lulus, Aaron Aziz Faham Perasaan Yusry

Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 50, memahami perasaan yang sedang dilalui Datuk Yusry Abdul Halim apabila tidak dapat menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Datin Lisa Surihani selepas rayuan visa tidak diluluskan.

Menurut pemilik nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, dia sendiri pernah melalui pengalaman hampir sama apabila visa hajinya berada dalam keadaan tidak menentu sehingga ke saat akhir sebelum berangkat ke tanah suci.

Katanya, ketika itu visa isterinya, Diyana Halik terlebih dahulu diluluskan, manakala permohonannya pula hampir menemui kegagalan.

“Waktu itu memang saya sudah reda. Saya cakap pada isteri, kalau tak ada rezeki, pergilah dulu tanpa saya. Kita hanya mampu usaha, selebihnya serah pada Allah,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon filem KL Gangster itu berkata, dia akhirnya menerima berita gembira apabila visanya diluluskan pada saat akhir dan menyifatkan perkara tersebut sebagai rezeki serta kurniaan Allah SWT.

Mengulas mengenai situasi Yusry, Aaron berkata dia dapat memahami perasaan seorang suami yang pastinya mahu berkongsi momen istimewa menunaikan ibadah haji bersama pasangan tercinta.

“Sebagai suami, memang kita nak pergi haji bersama isteri, tapi mungkin Allah susun sesuatu yang lebih baik, atau mungkin anak-anak lebih memerlukan antara salah seorang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aaron turut menzahirkan rasa simpati terhadap Yusry dan percaya setiap ketentuan yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Dia juga mendoakan agar Yusry terus tabah menerima ujian tersebut selain berharap segala urusan jemaah haji dipermudahkan sepanjang berada di tanah suci.

“Semoga semua jemaah dipermudahkan perjalanan pergi dan balik,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran Karva Travel & Tours yang merupakan sebuah agensi pelancongan dan umrah pada Jumaat.

Terdahulu, Lisa reda apabila rayuan visa haji suaminya tidak berjaya walaupun mereka pada awalnya merancang untuk menunaikan ibadah haji bersama pada tahun ini.

Untuk rekod, Aaron dan isterinya, Diyana Halik, menunaikan ibadah haji pada tahun 2023 selepas lima kali mengerjakan umrah bersama.

Related Articles

Back to top button