“Isu Sombong Sudah Lepas, Tak Ingin Ulas”

Pelakon, Mira Filzah, 33, memilih untuk tidak lagi memperbesarkan dakwaan netizen yang pernah melabelnya sebagai sombong di platform Threads sebelum ini.
Menurut Mira, dia mempunyai sebab tersendiri untuk tidak memberi penjelasan lanjut selain menganggap isu tersebut sudah lama berlalu.
“Saya minta maaf sangat. Saya ada alasan tersendiri dan tak ingin ulas lagi isu itu. Apa-apa yang berkaitan Threads atau isu sombong saya ‘skip’. Perkara itu sudah lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Mira turut mengakui dirinya bukan pengguna aktif Threads dan hanya membuka aplikasi tersebut apabila mahu mencari maklumat tertentu atau mendapatkan pandangan ramai mengenai sesuatu perkara.
“Saya gunakan Threads kalau ada persoalan. Contohnya mengenai sinus atau tip bercuti kerana platform itu berfungsi untuk mendapatkan maklumat yang baik.
“Tetapi, saya tidak buka setiap hari. Saya hanya buka sesekali sahaja, bukan macam saya layari Instagram,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kemungkinan untuk menutup akaun media sosial demi mengelakkan persekitaran toksik dalam dunia maya, Mira berkata perkara tersebut tidak pernah terlintas di fikirannya.
Menurutnya, media sosial kini memainkan peranan penting terutama buat individu yang terlibat dalam dunia hiburan dan penciptaan kandungan digital.
“Kita berada di zaman di mana media sosial adalah satu kepentingan kepada semua orang, khususnya orang seperti saya, pencipta kandungan, pempengaruh. Itu adalah profil dan platform penting untuk kami.
“Jadi, bergantung kepada individu bagaimana hendak kawal apa yang kita tunjuk dan apa yang kita simpan untuk menjaga privasi,” ungkapnya lagi.



