Berita

Chacha Maembong Kurus Bukan Sebab Dilamun Cinta

Pelakon, Chacha Maembong, 29, menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan perubahan bentuk badannya yang semakin langsing dengan faktor percintaan atau kehadiran lelaki baharu dalam hidupnya.

Menurut pemilik nama sebenar Siti Aishah Ismail, penurunan berat badan yang dialaminya bukan berlaku kerana sedang dilamun cinta, sebaliknya lebih dipengaruhi gaya hidup sihat serta suasana positif di sekelilingnya.

“Tak semestinya bila seseorang itu kurus dan nampak bahagia, semuanya sebab cinta. Kadang-kadang kebahagiaan itu datang daripada keluarga, kawan-kawan dan juga persekitaran yang baik.

“Bila kita berada dalam suasana yang membahagiakan, secara automatik aura positif itu akan buat kita nampak lebih berseri dan gembira.

“Saya rasa apa yang saya lalui sekarang lebih kepada sebab saya dikelilingi orang-orang yang memberi semangat serta tenaga yang positif,” katanya.

Dalam pada itu, Chacha turut menjelaskan dia sebenarnya tidak pernah meletakkan sasaran tertentu untuk menurunkan berat badan atau terlalu obses mengenai perubahan fizikalnya.

Menurutnya, perubahan tersebut berlaku secara semula jadi disebabkan jadual kerja yang padat selain faktor perubahan hormon dan usia.

“Mungkin juga sebab faktor hormon atau umur. Kadang-kadang bila terlalu sibuk bekerja, kita jadi kurang fokus terhadap corak pemakanan harian.

“Bila tak terlalu fikir soal makan atau diet, tanpa sedar berat badan itu turun sendiri,” ujarnya lagi.

Penampilan terbaharu Chacha sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila ramai netizen menyedari perubahan fizikalnya yang semakin langsing selain dilihat semakin berseri di media sosial.

Related Articles

Back to top button