Stadium Merdeka Jadi Saksi, Awie Mahu Ukir Sejarah Lagi

“Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi refleksi perjalanan seni saya selama lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air. Ia juga dedikasi istimewa buat semua peminat yang sentiasa bersama saya sejak era Wings hingga ke hari ini,” Datuk Awie.
Tambah beliau, sokongan peminat yang tidak pernah putus menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan dan relevan dalam industri hiburan tempatan.
Legenda rock itu bakal mengukir satu lagi sejarah menerusi konsert mega Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September hadapan.
Konsert berskala besar anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media itu bakal menampilkan persembahan solo epik Awie yang menghimpunkan perjalanan seni beliau sepanjang lebih 40 tahun sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional.
Persembahan berkenaan dijangka menjadi antara konsert paling bersejarah dalam industri muzik tempatan dengan gabungan elemen muzik, naratif dan produksi mega yang dirangka khas untuk meraikan legasi seninya.
Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari berkata, hubungan profesional beliau bersama Awie sudah terjalin hampir empat dekad dan mereka telah melalui pelbagai fasa perjalanan seni bersama.
“Dari era Wings, kemudian perjalanan solo hingga pelbagai evolusi seni beliau, kami sering bekerjasama dan chemistry itu menjadi kekuatan utama dalam setiap persembahan konsert yang dihasilkan bersama,” katanya.

Menurut Bombay, tajuk ‘Last Man Standing’ dipilih kerana ia melambangkan keteguhan Awie dalam menempuh jatuh bangun industri muzik selain berjaya bertahan merentasi perubahan zaman.
“Tajuk ini membawa simbolik kepada perjalanan seni beliau yang penuh cabaran, daripada era kumpulan ke solo dan pelbagai perubahan dalam industri muzik. Namun beliau tetap berdiri teguh mempertahankan identiti dan bahasa seninya,” jelasnya.
Bombay turut menyifatkan gelaran ‘Rock King’ sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan besar Awie dalam memperkukuhkan pengaruh muzik rock di Malaysia sama ada menerusi kumpulan mahupun karier solo.
Konsert tersebut juga akan membawa konsep penceritaan perjalanan seni penyanyi ini yang penuh evolusi dan keteguhan sepanjang lebih empat dekad dalam industri hiburan tanah air.
Selain itu, persembahan berkenaan bakal menampilkan barisan pemuzik berpengalaman serta artis undangan popular daripada pelbagai generasi sebagai tribute kepada perjalanan seninya.
Susunan lagu pula dirangka untuk membawa penonton menyusuri evolusi muzik beliau menerusi gabungan karya nostalgik dan interpretasi baharu bagi mewujudkan pengalaman persembahan yang lebih segar, dinamik dan bermakna buat peminat.
Bagi peminat yang ingin turut serta, tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh dibeli bermula dengan harga RM98 melalui platform iLasso Tickets.



