Zul Ariffin Mohon Maaf Kongsi Video Hisap Rokok, Minta Jangan Dicontohi Tabiat Buruk

Pelakon, Zul Ariffin, 40, tampil memohon maaf selepas tindakannya memuat naik video sedang merokok di media sosial baru-baru ini mengundang kritikan ramai.
Menurut pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin, dia sedar perkongsian tersebut tidak sepatutnya dipaparkan kepada umum dan mengakui perbuatannya itu merupakan satu tabiat buruk yang tidak wajar dicontohi.
“Saya ingin mohon maaf kepada semua yang menegur selepas saya melakukan tabiat buruk itu sepanjang menggunakan media sosial.
“Kepada semua yang tegur dengan baik, saya minta maaf termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), walaupun pihak itu tidak ada sebut apa-apa. Perkara itu tidak akan berlaku lagi, saya janji,” katanya.
Sebelum ini, video dimuat naik Zul memaparkan dirinya sedang merokok menjadi perhatian netizen termasuk menerima reaksi daripada Public Health Malaysia yang menyindir pelakon itu kerana didakwa mempromosikan budaya merokok kepada masyarakat.
Bagaimanapun, Zul menjelaskan dia hanya menerima teguran yang disampaikan secara baik dan enggan melayan komen keterlaluan atau bersifat menghina.
“Namun, saya tidak akan memohon maaf kepada individu yang melemparkan komen melampau dan menghina. Saya perlu tegas dalam perkara itu.
“Kalau seseorang meninggalkan komen buruk, itu mencerminkan akhlak mereka sendiri, bukan akhlak saya,” ujarnya.
Tambah Zul, dia juga berharap orang ramai tidak terus melabel dirinya sebagai seorang yang sombong hanya kerana membalas sindiran secara spontan di media sosial.
“Jangan terus label saya sebagai sombong atau angkuh. Saya hanya minum kopi dan membalas sindiran secara spontan kepada individu yang memulakan sindiran terhadap saya.
“Saya akui perkara itu satu tabiat buruk dan ia tidak akan berulang lagi. Jadi, tak perlulah sampai jadi terlalu kecoh, tenang-tenang sahaja.
“Apa yang berlaku ketika itu hanyalah satu tabiat buruk yang saya sendiri tidak pernah galakkan.
“Saya cuma duduk menikmati angin, minum kopi dan secara spontan minta diambilkan video,” jelasnya.
Katanya lagi, keadaan menjadi semakin hangat apabila ramai mula memberikan reaksi sinis terhadap video tersebut sehingga perkara itu menjadi tular di media sosial.
“Kemudian tiba-tiba perkara itu jadi kecoh. Apabila ada yang ucapkan ‘tahniah’, saya faham ia bersifat sarkastik.
“Jadi apabila orang mula dengan nada sindiran, saya balas semula secara sindiran, sebab itu ia tular.
“Tiba-tiba orang bercakap macam saya buat kesalahan besar… macam saya curi tabung masjid.
“Filem Tarung: Unforgiven sudah capai kutipan RM15 juta dan saya merokok dalam babaknya. Mana komen? Tidak ucap tahniah pun,” katanya.



