Muhammad Luay Khayr Nama Anak Sulung Eyka Farhana & Akhyar Rashid

Pelakon, Eyka Farhana, 31, kini menikmati fasa bergelar ibu apabila selamat melahirkan cahaya mata sulung lelaki pada 16 Mei lalu.
Pemilik nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmiz, berkongsi berita gembira tersebut menerusi satu hantaran di Instagram sambil memaklumkan bayi yang diberi nama Muhammad Luay Khayr Muhammad Akhyar itu dilahirkan secara normal.
“Masya-Allah, momen paling indah berlaku pada 16 Mei 2026. Alhamdulillah, Baby L selamat dilahirkan secara normal,” tulisnya.
Menurut pelakon itu, segala kesakitan yang dirasai sepanjang proses melahirkan seolah-olah hilang sebaik sahaja melihat wajah anak sulungnya buat kali pertama.
“Kesemua kesakitan hilang sekelip mata ketika saya melihat wajah kecil awak sayang. Selamat datang ke dunia hero saya, Muhammad Luay Khayr Muhammad Akhyar,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Eyka turut meluahkan rasa syukur atas kehadiran cahaya mata tersebut yang dianggap sebagai anugerah paling berharga dalam hidupnya ketika ini.
“Awak disayangi, berharga dan menjadi sebahagian jiwa kami. Kami menyayangi awak lebih daripada sebarang kata-kata yang terucap,” ujarnya.
Menerusi perkongsian sama, Eyka turut memuat naik video memperlihatkan suaminya, Akhyar Rashid sebak dan terharu selepas bergelar seorang bapa.
Terdahulu, pasangan itu pada April lalu mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.
Untuk rekod, Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2024.



