Adi Putra Dedah Pernah Ditawar Rasuah RM20 Juta

Pelakon, Datuk Adi Putra, 45, membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui dirinya pernah menerima tawaran wang mencecah jutaan ringgit daripada pihak tertentu yang cuba mendapatkan sesuatu daripadanya.
Menurut pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim, tawaran lumayan tersebut bagaimanapun tidak berkaitan dengan kerjaya lakonannya, sebaliknya melibatkan urusan lain yang tidak mahu diperincikan secara terbuka.
Katanya, perkara seperti itu bukan lagi sesuatu yang asing dan sering berlaku dalam dunia hari ini apabila ada pihak menggunakan wang sebagai jalan untuk mencapai kepentingan tertentu.
“RM10 juta, RM20 juta pun ada. Sama juga macam filem Konspirasi ini, wang dihantar dari luar negara dengan jumlah besar.
“Tidak logik zaman sekarang mahu beri RM100 sahaja. Saya percaya perkara itu sudah jadi lumrah,” katanya.
Bercerita lanjut, Adi berkata cubaan untuk menyogok dirinya bukan berlaku sekali, malah sudah beberapa kali berlaku sepanjang kehidupannya.
Namun begitu, Adi menegaskan dia tidak mudah melatah atau terus menerima setiap pemberian tanpa menilai tujuan sebenar di sebaliknya.
“Ramai yang cuba merasuahkan saya, tapi saya tengok juga perspektif mereka. Adakah rasuah itu untuk menghalalkan cara atau sekadar hadiah? Kalau hadiah itu berbeza, tetapi kalau rasuah untuk menghalalkan cara, saya memang tidak akan terima,” ujarnya.
Dalam masa sama, Adi mengakui dia sedar kenyataannya itu mungkin sensitif untuk diperkatakan secara terbuka, namun memilih untuk berterus terang kerana enggan berselindung mengenai realiti yang berlaku.
“Saya cakap terus terang sebab inilah realiti zaman sekarang. Banyak perkara berlaku di luar sana dan saya tidak mahu ‘spin’.
“Mungkin saya perlu berhati-hati supaya tidak mengguris hati orang lain, tetapi di media sosial ramai ‘keyboard warrior’ yang tidak fikir tentang perasaan orang lain,” katanya lagi.
Tambah Adi, dia tidak mudah terpengaruh dengan kemewahan atau jumlah wang yang besar kerana baginya maruah serta legasi keluarga jauh lebih penting daripada harta duniawi.
“Bagi saya duit itu cuma angka. Walau sebanyak mana pun, ia mudah masuk dan keluar. Tetapi apa yang paling penting ialah apa yang kita mahu tinggalkan untuk waris dan keluarga,” ungkapnya lagi.



